SETIAP kali cabaran ataupun fenomena baharu di media sosial, ia pasti menimbulkan keterujaan individu untuk mencuba. Ada yang menyeronokkan dan tidak kurang juga membahayakan nyawa.
Salah satu trend hangat di media sosial yang kini dimainkan di seluruh dunia ialah Cabaran Blackout (Blackout Challenge) di aplikasi TikTok.
Trend luar biasa dan penuh kontroversi itu turut dikenali sebagai ‘cabaran tercekik’ atau ‘cabaran pengsan’.
Aksi yang dirakamkan di media sosial itu menggalakkan pengguna untuk menahan nafas sehingga pengsan akibat kekurangan oksigen.
Menurut portal People, Blackout Challenge bukanlah satu trend baharu memandangkan ia telah wujud sejak 2008 di media sosial, namun menjadi hits semula di TikTok pada 2021.
Pada Februari 2021, seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dari Texas, Amerika Syarikat (AS), Arriani Arroyo dilaporkan meninggal dunia selepas mengikuti cabaran tersebut.
Keadaan itu menyebabkan ibu bapanya pada Julai lalu memfailkan tuntutan mahkamah terhadap aplikasi TikTok dengan harapan ia tidak berlaku kepada kanak-kanak lain.
Ibu bapa Arriani memfailkan saman ke atas TikTok bersama satu lagi pasangan yang turut kematian anak yang berusia lapan tahun.

Kanak-kanak itu, Lalani Erika Renee Walton juga dari Texas maut pada Julai 2021 dan polis mengesahkan kematiannya disebabkan ‘percubaan Cabaran Blackout’.
Sementara itu, seorang kanak-kanak dari Pennsylvania pula, Nylah Anderson, 10, gagal diselamatkan ibunya yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas menahan nafas.
Seorang remaja 12 tahun, Joshua Haileyesus mati selepas 19 hari dirawat di hospital akibat mencekik diri sendiri dengan tali kasut bagi mengikuti cabaran itu tahun lalu.
Satu demi satu kematian terus dilaporkan ekoran bahana cabaran tersebut di negara-negara lain.
Kematian turut melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di Itali dan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di Australia.
Bagaimanapun, sehingga kini trend tersebut masih lagi dicuba oleh pengguna laman sosial dan terus merekodkan kematian.

Pertengahan bulan lalu, seorang remaja berusia 12 tahun dari United Kingdom, Archie Battersbee maut dan seorang remaja berusia 14 tahun dari Scotland, Leon Brown turut terbunuh awal bulan ini.
Bagi sesetengah individu terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, mencabar diri untuk melakukan aksi-aksi trending dan baharu seringkali dilihat sebagai satu perbuatan yang cool kerana berjaya mengikut trend semasa.
Bagaimanapun, tanpa mereka sedari, ia membahayakan nyawa mereka.
Biarpun cabaran itu setakat ini belum dilihat membawa kecelakaan dalam kalangan pengguna di negara ini, namun cabaran itu yang tular di media sosial seluruh dunia wajar diawasi terutama dalam kalangan kanak-kanak.
Menurut Pakar Pediatrik dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM), Dr. Kong Sik Thein, Blackout Challenge yang menjadi fenomena pengguna laman sosial TikTok ternyata membahayakan nyawa kerana perbuatan mencekik leher menyebabkan bekalan oksigen ke dalam badan dan darah terputus.

“Apabila kandungan oksigen di dalam badan berkurangan, ataupun dalam istilah perubatannya hypoxia, banyak komplikasi akan terjadi kepada individu.
Antaranya muka bertukar menjadi biru, pengsan, sawan, kecederaan pada otak, koma serta kematian.
“Komplikasi lain yang mungkin boleh terjadi termasuk pendarahan dalam mata dan hilang memori sementara.
“Kesemua komplikasi ini mungkin akan terjadi dalam masa beberapa minit sekiranya bekalan oksigen ke badan terputus,” katanya kepada K2.
Berkongsi lanjut, menurut Dr. Sik Thein, individu yang mencuba aksi tersebut juga boleh meninggalkan kesan lebam atau kecederaan pada leher.
Bukan itu sahaja, muka individu itu juga akan bertukar menjadi merah dan mungkin menimbulkan bintik-bintik merah pada bahagian muka atau sekeliling yang dikenali sebagai petechiae dalam istilah perubatan.
“Kematian boleh terjadi apabila bekalan oksigen di dalam badan dan darah menjadi sangat rendah. Pada waktu itu, sel otak manusia akan mati dalam masa lima minit apabila bekalan oksigen terputus.
“Organ dalaman badan seperti fungsi jantung, hati dan buah pinggang juga terjejas dalam keadaan hypoxia ini dan ia boleh membawa maut,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan dan Pakar Psikiatri dari Jabatan Perubatan Psikologi Fakulti Perubatan UM, Dr. Aida Syarinaz Ahmad Adlan berkata, rasa ingin tahu dan diterima dalam kalangan rakan-rakan mahupun masyarakat menyebabkan kanak-kanak terdorong untuk melakukan cabaran itu.
“Lumrah kanak-kanak, mereka suka membuat perkara berisiko tinggi untuk mendapatkan perhatian, pengiktirafan walaupun ia tidak sihat, sekali gus meningkatkan rasa harga diri apabila berjaya dengan eksperimen tersebut. Ini memberi rasa kepuasan secara sefera.
“Otak kanak-kanak masih belum matang dan tidak berupaya untuk berfikir sendiri dengan baik dalam membuat keputusan betul.
“Biasanya usia matang bagi manusia ialah apabila menjangkau dewasa iaitu 20 tahun ke atas,” katanya.
Bukan sahaja menyebabkan kematian, cabaran itu turut memberi kesan psikologi terhadap kanak-kanak seperti trauma sekiranya mereka selamat selepas melakukannya.
Ujar Dr. Aida Syarinaz, mereka mungkin menyalahkan diri sendiri kerana melakukan sesuatu tidak patut dibuat.

Mereka juga katanya, menganggap diri mereka sebagai jahil walaupun tidak menyedari kanak-kanak sememangnya tidak sematang individu dewasa dalam membuat keputusan.
“Perasaan ini dapat menyebabkan mereka mula mengalami kemurungan atau depresi, selain anxiety. Apabila ini berlanjutan, ia juga akan memberi kesan terhadap harga diri mereka.
“Mereka mungkin mengasingkan diri, rasa tidak layak untuk hidup dan mungkin terfikir untuk membunuh diri.
“Dari segi rawatan, mereka mungkin mendapat manfaat sekiranya berjumpa dengan pakar kesihatan mental seperti pakar psikologi dan psikiatri untuk berbincang apa yang telah berlaku.
“Ini bagi membolehkan mereka dapat menerima apa yang telah terjadi tanpa menyalahkan diri secara berterusan dan keluar dari episod gelap ini dengan lebih baik,” jelasnya.
Berkongsi lanjut menurutnya lagi, dalam situasi tersebut ibu bapa perlu peka terhadap keperluan kesihatan mental dan emosi dalam menangani trauma dan memberikan sokongan kepada anak-anak untuk mendapatkan rawatan.
Mereka bahkan tidak sepatutnya terus-menerus menyalahkan anak-anak kerana ia mungkin dapat memburukkan lagi keadaan.
“Kanak-kanak tidak lari dari membuat kesilapan, jadi mereka perlu diberi jaminan boleh belajar melalui kesilapan tersebut untuk menjadi seseorang lebih baik dan kuat dalam menangani cabaran-cabaran mendatang dalam kehidupan.
“Melalui kesilapan juga, mereka berpeluang belajar membuat keputusan yang betul dengan mengambil masa untuk berfikir dahulu dan berbincang dengan ibu bapa sebelum membuat sesuatu,” katanya.
Menurut Dr. Aida Syarinaz, ibu bapa merupakan insan yang paling penting dan boleh memberi impak besar dalam kehidupan anak-anak.
Justeru, komunikasi terbuka dalam perhubungan sesebuah institusi kekeluargaan akan membuka jalan kepada kanak-kanak untuk percaya dan berbincang dengan ibu bapa sebelum membuat keputusan terburu-buru.
Ini bagi mendapatkan kepuasan dan pengiktirafan yang bersifat sementara.
“Pada pendapat saya, ibu bapa perlu meluangkan masa dan mengambil peduli tentang apa yang anak-anak mereka lakukan, dengan siapa mereka berhubung tidak termasuk hubungan di alam maya seperti sosial media.
“Tunjukkan minat dengan apa yang dianggap penting untuk anak-anak, supaya mereka rasa penting di mata ibu bapa, sekaligus berasa selesa untuk menceritakan apa yang mereka lalui dalam kehidupan seharian.
“Sebagai orang dewasa yang matang, ibu bapa berupaya untuk membimbing dan menunjukkan jalan bagi anak-anak dalam membuat keputusan yang baik.
“Mereka perlu diajar tentang keselamatan terutamanya dalam penggunaan internet,” ujarnya.














