MOSCOW – Sekatan berterusan yang dikenakan Barat berikutan pencerobohan Russia ke atas Ukraine mengakibatkan juruterbang syarikat-syarikat penerbangan negara itu diarah untuk melakukan penyelenggaraan ke atas pesawat mereka sendiri, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Timbalan Menteri Perindustrian dan Perdagangan Russia, Oleg Bocharov mengeluarkan kenyataan itu awal bulan lalu semasa Forum Ekonomi Timur di bandar pelabuhan Vladivostok.
“Bersama-sama kementerian pengangkutan, kita mesti melatih dan memperakui juruterbang sebagai pejuang sejagat.
“Mereka mesti menjadi juruterbang dan juruteknik pada masa yang sama. Peralatan harus disediakan supaya juruterbang dapat melakukan kerja penyelenggaraan dan kemungkinan pembaikan pesawat di lapangan.
“Kita sedang bercakap tentang juruterbang terutamanya melibatkan penerbangan serantau, yang mana sistem asas baharu untuk mengekalkan kelayakan udara baharu untuk pesawat domestik perlu diwujudkan,” kata Bocharov.
Sekatan Barat memberi kesan yang teruk ke atas industri penerbangan Russia dengan Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU), Britain dan Kanada melarang syarikat penerbangan Moscow melalui ruang udara mereka.
Syarikat penerbangan utama Russia, Aeroflot terpaksa menggantung semua penerbangan antarabangsanya kecuali ke Belarus.
EU menambah 21 syarikat penerbangan Russia ke dalam Senarai Keselamatan Udaranya pada April lalu yang menghalang syarikat-syarikat berkenaan daripada beroperasi di wilayah EU atas ‘faktor keselamatan’. Keputusan itu didakwa tidak dipengaruhi oleh pencerobohan Russia ke atas Ukraine. – AGENSI