fbpx

Sindiket PATI guna ‘homestay’ terbongkar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian PATI yang ditahan dalam homestay di Kampung Endah, Kuala Langat semalam.

KUALA LANGAT – Taktik sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan rumah inap desa (homestay) sebagai rumah penampungan terbongkar dalam kejadian di Kampung Endah di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam, menahan 52 PATI keseluruhannya termasuk tiga tekong yang merupakan warga Indonesia dan Bangladesh berusia enam hingga 50 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd . Nor @ Saleh berkata, modus operandi itu terbongkar menerusi rondaan Op Nyah 1 Selangor yang dilakukan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am bermula di persisiran Pantai Beach Resort.

Katanya, semasa rondaan itu telah terserempak dengan (11) PATI warga Indonesia termasuk kanak-kanak perempuan di dalam paya bakau di kawasan berkenaan.

“Soal siasat terhadap mereka membawa serbuan di homestay Kampung Endah yang membawa penangkapan 41 PATI dengan 37 daripada warga Indonesia dan selebihnya empat warga Bangladesh.

“Siasatan awal menunjukkan tiga lelaki warga Indonesia yang turut berada di rumah tersebut dipercayai adalah tekong yang menguruskan perjalanan mereka masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, semakan mendapati kesemua yang ditangkap itu tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.

Ahmad Ridhwan menjelaskan, hasil siasatan awal mendapati kesemua PATI membayar secara purata antara RM2,000 hingga 4,500 kepada sindiket.

“Mereka akan ditempatkan dalam pelbagai sektor terutama ladang dan pembinaan di sekitar Pahang, Kuala Lumpur dan Selangor.

“Kita akan memanggil pemilik homestay tersebut dalam masa terdekat untuk siasatan lanjut selepas kediamannya telah digunakan bagi penyeludupan PATI,” ujarnya.

Kata beliau, kesemua tangkapan telah dibawa ke Balai Polis Banting untuk tindakan seterusnya.

“Kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI