SEBAGAI seorang kaki pancing, ke mana sahaja lokasi yang dituju, pasti timbul perasaan ingin meepaskan ‘gian’ melempar umpan ke air.
Apatah lagi apabila mengetahui lokasi yang dituju itu mempunyai banyak port untuk memancing, selain ada banyak spesies ikan untuk didaratkan.
Bagi Mohd. Fadzil Adenan, 40, perkara itulah yang terjadi kepada dirinya setelah dia bertukar tempat kerja dari Lembah Klang ke Johor sebelum ini.
Dia yang bertugas dalam sektor awam memberitahu, minatnya yang mendalam terhadap hobi memancing menyebabkan dia mula meneroka beberapa lokasi memancing di Johor.
“Saya dilahirkan di Sungai Besar, Kuala Selangor. Memancing sudah sebati dalam diri kerana di kawasan kampung saya memang terdapat banyak tempat memancing sama ada parit, tali air dan alur sungai.
“Apabila sudah dewasa, aktiviti berkenaan menjadi satu hobi yang kerap saya lakukan sama ada secara bersendirian atau bersama kawan-kawan.
“Bila berpindah tempat kerja ke Johor, antara perkara pertama yang saya lakukan adalah mencari port memancing yang kerap dikunjung kaki pancing.
“Ini kerana, saya ingin meneruskan hobi walaupun sudah bertukar tempat kerja,” katanya.
Menurut Mohd. Fadzil, antara lokasi yang sering dikunjungi untuk melepaskan gian memancing itu termasuk di perairan Mersing kerana terdapat beberapa pulau yang boleh diakses menggunakan bot ataupun kayak.
Katanya, terdapat juga beberapa pulau yang hampir dengan jeti Penyabong seperti Pulau Aceh, Pulau Tunus, Pulau Layak dan Pulau Sri Buat.

IKAN GT turut menjadi buruan kaki pancing setiap kali turun ke laut.
Jelasnya, kawasan perairan di situ yang berbatu dan berkarang menjadikan lokasinya banyak dihuni pelbagai spesies ikan karang seperti ikan giant travvely (GT), kerapu, ketarap, tenggiri dan lain lain.
“Atas faktor keselamatan dan bagi mengurangkan kos, biasanya saya akan pergi memancing dengan ditemani seorang kawan.
“Antara spesies sasaran utama apabila turun memancing adalah kerapu kerana ikan jenis ini banyak mendiami kawasan karang dan berbatu dan mempunyai kedalaman antara 2 hingga 5 meter.
“Untuk memburu kerapu di perairan ini, saya kerap menggunakan gewang selaman dasar kerana ia perlu menyelam dan melanggar batuan di dasar bagi menarik perhatian ikan kerapu yang berada di celah-celah batu.
“Walaupun teknik itu agak berisiko kerana gewang boleh tersangkut pada batu, namun ia satu perkara yang perlu dihadapi kaki pancing setiap kali turun memburu ikan,” katanya.
Menurut Mohd. Fadzil, kebiasaannya dia memilih lokasi terletak di kawasan tanjung pulau kerana selain kerapu, kawasan berkenaan turut didiami spesies GT yang turut menjadi antara spesies buruan pemancing.
Disebabkan spesies ikan karangan seperti kerapu dan GT mempunyai daya lawan dan rentapan yang kuat, dia kerap berhadapan dengan situasi tali perambut terputus, terutama apabila pemangsa menarik gewang masuk ke kawasan berbatu yang boleh menyebabkan tali terhiris dan putus.
Justeru katanya, bagi mengurangkan risiko terlepas hasil tangkapan, dia menggunakan tali utama bersaiz 40 paun dan dipadangkan dengan tali perambut 50 paun.

ANTARA hasil tangkapan ikan yang berjaya didaratkan hasil mancing di sekitar perairan Penyabong di Mersing.
“Setiap kali datang ke perairan Penyabong, saya akan menggunakan teknik casting atau jigging. Namun di sebabkan perairan ini mempunyai kedalaman sehingga 40 meter, lain-lain teknik juga boleh digunakan.
“Untuk teknik casting, gewang yang sering saya gunakan adalah jenis selaman dalam sehingga 5 meter dan mata kail perlu ditukar kepada yang lebih kukuh.
“Ini kerana, perlawanan dengan ikan pada jarak dekat memerlukan peralatan yang boleh dikatakan sempurna agar tidak berputih mata.
“Antara peralatan yang penting juga adalah alat untuk melepaskan gewang yang tersangkut (lure retriver), terutama pada celahan batu,” ujarnya.
Untuk memburu spesies GT pula katanya, dia menggunakan gewang yang lebih berat dan mudah tenggelam
berat antara 30 gram (g) hingga 40g dan dikarau laju.
Bagi teknik jigging pula katanya, dia menggunakan gewang berwarna terang boleh digunakan dengan berat antara 15g hiingga 60g.
Kata Mohd. Fadzil lagi, saiz ikan yang kerap diperoleh setiap kali memancing di kawasan perairan itu adalah bersaiz sederhana.
Ujarnya, berat ikan yang berjaya ditangkap antara 2 hingga 5 kilogram seekor dan rekod terbanyak yang pernah dinaikkan adalah sebanyak 25 ekor.

MOHD. FADZIL menunjukkan ikan kerapu yang berjaya dipancing.
Kesemua hasil pancingan pula katanya, dijadikan lauk untuk hidangan keluarga, selain turut diberikan kepada rakan dan jiran.’
Itupun, jika memperoleh jumlah pancingan yang banyak.
Disebabkan kerap memancing di perairan Mersing, Mohd. Fadzil merancang untuk membeli sebuah bot lebih besar bagi tujuan meneroka lubuk dan lokasi memancing yang lebih jauh pada masa depan.














