fbpx
NAJIB bersama karya-karya menarik bertemakan kemerdekaan dan kenegaraan yang dihasilkannya.

Najib terjemah merdeka, Hari Malaysia dalam karya seni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENJADI rutin buat Najib Ahmad Bamadhaj, 35, untuk memegang berus lukisan dan melukis karya-karya seni yang terlintas di fikirannya.

Malah, sejak menamatkan pengajian dalam bidang seni halus di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, dia terus memberikan tumpuan sepenuhnya sebagai artis seni dan menjadikannya satu kerjaya.

Kini, pelbagai jenis karya telah dihasilkan Najib dan kreativitinya dilihat begitu menonjol dalam lukisan-lukisan bertemakan Malaysia, mercu-mercu tanda negara serta Jalur Gemilang yang sinonim dengan sambutan hari kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Maka, tidak hairanlah ada antara karyanya turut tergantung di dinding kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya.

“Sepanjang penglibatan saya dalam bidang ini, saya telah menghasilkan lebih 10 karya bertemakan Malaysia.

“Kesemua karya ini telah terjual dan berada dalam simpanan pembeli,” katanya yang berasal dari Muar, Johor kepada K2.

Malah, pada tahun lalu, dia telah bekerjasama dengan sebuah syarikat barangan kemas terkemuka, Habib untuk menghasilkan satu karya seni.

najib sering menggunakan medium seni lukis untuk mengekspresikan jiwanya dan menyampaikan mesej kepada masyarakat. – MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

Najib berkata, sebelum itu, Habib telah melihat sebuah karyanya, jadi mereka memintanya untuk melukis sesuatu sempena kemerdekaan.

Untuk tujuan tersebut, Najib telah berjaya menghasilkan karya yang dinamakan Inspirasi Nasional.

“Pada ketika itu, kita masih berdepan pandemik Covid-19 dan mereka mahu saya hasilkan satu karya yang positif bagi menaikkan semangat.

“Dalam karya itu terdapat gambar rama-rama berwarna-warni yang sedang terbang. Ia melambangkan kebebasan dan kepelbagaian budaya di negara kita,” jelasnya.

Menurutnya, warna yang digunakan untuk menghasilkan karya itu juga adalah warna-warna terang yang menceritakan tentang kegemilangan tanah air setelah dibentuk menjadi sebuah negara.

Cerita Najib, dia tidak mengambil masa terlalu lama untuk memikirkan idea bagi penghasilan karya Inspirasi Nasional itu.

“Saya sudah ada asasnya kerana sebelum ini semasa penularan teruk Covid-19 saya pernah menghasilkan karya seumpamanya dengan warna hitam dan putih sebagai perlambangan pandemik.

“Saya cuma perlu berfikir bagaimana untuk menukarnya ke bentuk yang positif,” terang Najib.

 

KARYA Najib The Great Malaysia Landscape kini menjadi hiasan di dinding kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya.

Tambahnya, bagi menukar ke bentuk yang positif dia menggunakan warna terang untuk karya tersebut.

Najib menggunakan medium cat akrilik dan kain jut bagi karya tersebut.

Bagi Najib, cabaran yang dihadapi untuk menghasilkan karya-karya simbolik adalah adakah mesej yang hendak disampaikan itu sampai atau tidak kepada orang ramai.

“Bila kita main dengan simbolisme dalam menghasilkan sesuatu karya jadi orang ramai mungkin tidak tahu apa yang hendak disampaikan.

“Sebagai contoh, simbol seperti rama-rama, mungkin mereka tidak mengetahui apa yang tersirat di sebalik simbolnya,” ulas Najib yang mengakui kebanyakan karya dihasilkannya terkenal dengan sifat simbolisme.

Menurutnya, simbolisme sesuai dengan nilai orang Melayu yang cenderung berlapik dalam percakapan dan itulah yang dia persembahkan dalam setiap karyanya.

Pada tahun lalu, Najib turut menghasilkan karya berjudul Hope igNation.

Menurutnya, karya itu dihasilkan setelah dia dijemput sebuah galeri seni untuk menyertai pameran.

“Lukisan yang saya hasilkan ini bermotif bunga raya. Bunga raya yang mekar ini merupakan simbol negara yang tercinta dan lima titik putih pada stamen bunga itu pula melambangkan kesucian lima Rukun Negara yang masih kekal kita amalkan.

“Tempoh masa yang diambil bagi menyiapkan karya itu hampir sebulan kerana saya perlu mengkaji bagaimana untuk mengadaptasi warna-warna pada bendera untuk dilukis pada bunga raya yang mekar,” katanya.

Karya-karya yang dihasilkan Najib juga pernah dipamerkan dalam pameran antarabangsa. Malah, karyanya yang berjudul Black Merdeka pernah dipamerkan di satu pameran di Singapura.

“Karya itu saya hasilkan pada tahun 2015 di mana isu berkaitan 1MDB mula diperkatakan.

“Dalam lukisan itu saya melukis gambar bunga raya yang berwarna hitam yang memberi maksud zaman gelap untuk negara,” katanya.

NAJIB bersama karya istimewa Proclamation of Independence.

Tambah Najib, untuk menghasilkan karya tersebut dia menggunakan medium arang dan cat akrilik yang dicoret di atas kain linen untuk menjadi lukisan bunga raya.

Bercerita mengenai salah satu karyanya, The Great Malaysia Lanscape yang kini menjadi hiasan di dinding kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya, karya itu menunjukkan lambang kejayaan negara.

“Di dalam karya ini, saya melukis gambar berlatarbelakangkan Jalur Gemilang disertai mercu-mercu ikonik yang ada di Malaysia dan rama-rama yang terbang bebas melambangkan rakyat.

“Mercu-mercu ikonik itu ialah Putrajaya, KLCC dan bangunan Sultan Abdul Samad yang menjadi kebanggaan negara,” katanya.

Jelas Najib, untuk menghasilkan karya tersebut, tempoh masa sekitar dua bulan diambil memandangkan lukisan yang dihasilkan bersaiz besar.

Terbaharu, Najib telah menghasilkan sebuah karya istimewa dinamakan Proclamation of Independence untuk memperingati deklarasi kemerdekaan yang disampaikan oleh Tunku Abdul Rahman pada 31 Ogos 1957.

“Warna yang saya gunakan adalah tona sephia bagi mendapatkan suasana klasik pada zaman tersebut.

“Latar belakang lukisan ini adalah gambar Tunku melaungkan merdeka serta tulisan ucapan deklarasi kemerdekaan,” jelasnya.

Najib berpendapat, karya-karya bertema kenegaraan oleh pelukis perlu ada bagi menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Menurutnya, ketika kecil, dia dapat merasai semangat kemerdekaan dan Hari Malaysia, namun apabila meningkat dewasa ia kurang diterapkan.

“Apabila pihak galeri mengambil inisiatif menganjurkan pameran sempena sambutan kedua-dua hari ini, ia satu usaha yang bagus.

“Ini kerana, setiap artis seni boleh menghasilkan karya mengikut perspektif masing-masing sekali gus menyampaikan mesej cinta negara kepada orang ramai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN