fbpx

Lebuh raya Suke fasa pertama mula dibuka 12 tengah hari esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Fasa pertama Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi Ulu Kelang (Suke) dibuka kepada pengguna mulai 12 tengah hari, esok.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jajaran sepanjang 16.6 kilometer turut dibuka kepada pengguna secara percuma selama sebulan.

Katanya, lebuh raya yang bermula dari Persimpangan Cheras-Kajang dan berakhir di Persimpangan Bukit Antarabangsa itu adalah bukti kerajaan komited menangani isu kepadatan trafik di ibu negara.

Fadillah ketika berucap di Majlis Pelancaran Fasa Pertama Pembukaan Lebuh Raya Suke, di sini, sebentar tadi.

“Kerajaan komited menangani isu trafik di ibu negara bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia yang bekerja dan tinggal di sekitar Lembah Klang, menerusi manfaat perjalanan lebih singkat dan pengurangan kadar pelepasan karbon.

“Pembukaan Suke akan membawa impak signifikan terhadap usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya bahagian timur Kuala Lumpur,” katanya.

Katanya lagi, Suke adalah satu daripada 53 projek berimpak tinggi di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang bermatlamat untuk mencipta pekerjaan dan merangsang aktiviti ekonomi.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Fasa Pertama Pembukaan Lebuh Raya Suke, di sini, sebentar tadi.

Sementara itu Pengerusi Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas), Datuk Idris Kechot berkata, pembinaan lebuh raya ini sememangnya membuka banyak peluang ekonomi.

“Kami berjaya wujudkan banyak peluang perniagaan dan pekerjaan. Seramai 248 kontraktor dan 10 perunding utama terlibat dalam projek ini dengan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan.

“Ia merangkumi pelbagai bidang seperti pengurusan, kejuruteraan, teknikal, pembantu barisan harapan dan pekerja kontrak,” katanya ketika berucap di majlis sama.

Fasa pertama pembukaan Suke melibatkan dua plaza tol iaitu Plaza Tol Bukit Teratai dan Plaza Tol Ampang serta 11 persimpangan keluar dan masuk.

Antara keistimewaan Suke ialah memiliki tanjakan ‘helikoidal’ pertama di Malaysia di persimpangan Cheras-Kajang, yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records serta Anugerah Reka Bentuk Lebuh Raya Dinamik daripada Lembaga Lebuh Raya Malaysia.

Selain itu, ia memiliki struktur jejambat lebuh raya tertinggi bersegmen pada ketinggian 56.4 meter merentasi Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Besi-Kajang dan Lebuh Raya Cheras-Kajang, yang bersamaan dengan ketinggian bangunan 18 tingkat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI