fbpx

Ketua kongsi gelap Geng San Sentosa diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Polis memberkas dua lelaki termasuk ketua kumpulan kongsi gelap Geng San Sentosa semalam.

Mereka yang terlibat dalam aktiviti pemerasan, samun, mengawal premis bitcoin, curi kenderaan dan pecah rumah ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, tangkapan ke atas dua suspek itu dibuat ketika mereka hendak memasuki sebuah trak pikap di Jalan Raja Musa, Pelabuhan Klang.

“Polis merampas sepucuk pistol jenis revolver yang disembunyikan di bawah tempat duduk pemandu. Turut dirampas peluru hidup yang ditemui di rumah suspek di Jalan Bendahara, Taman Mewah Ria Klang,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Noorsiah berkata, dengan penahanan dua lelaki itu, secara keseluruhan, enam ahli geng tersebut ditangkap dan empat pucuk pistol bersama lima butir peluru hidup dirampas.

Sebelum ini, dua ahli Geng San Sentosa ditangkap pada 17 April lalu di Petaling Jaya dengan rampasan sepucuk pistol manakala seorang lelaki diberkas di Taman Sentosa, Klang, pada 15 Jun.

“Seorang lagi ahli kumpulan sama dicekup di Butterworth, Pulau Pinang kelmarin yang membawa kepada rampasan sepucuk pistol serta empat butir peluru hidup.

“Kesemua senjata api yang dirampas tidak mempunyai lesen daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Tambah beliau, ketua kumpulan itu memiliki 11 rekod jenayah lampau berkaitan senjata api, curi kenderaan dan dikehendaki bagi kes senjata api di Petaling Jaya, pada 17 April lalu.

Geng San Sentosa diburu selepas D9 menubuhkan pasukan khas dengan sasaran menumpaskan kumpulan penjenayah bersenjata api. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI