WASHINGTON – Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mengeluarkan amaran mengenai penularan sejenis virus dalam kalangan kanak-kanak yang berpotensi mengakibatkan lemah otot atau lumpuh, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Pada Jumaat lalu, CDC mengeluarkan amaran mengenai eterovirus D68 (EV-D68) yang mengakibatkan penyakit berkaitan pernafasan. Gejala penyakit itu biasanya ringan tetapi boleh menjadi teruk.
Agensi itu menjelaskan bahawa ‘keluarga’ eterovirus adalah besar termasuk virus polio. EV-D68 dan poliovirus boleh menyerang sistem saraf dan menyebabkan lemah otot.
Pada Ogos lalu, penyedia penjagaan kesihatan dan hospital beberapa negeri di Amerika Syarikat telah diberitahu tentang peningkatan kemasukan ke hospital dalam kalangan kanak-kanak. Dalam sesetengah kes, terdapat simptom penyakit berkaitan pernafasan yang teruk yang turut diuji positif rhinovirus (RV) dan/atau enterovirus (EV).
CDC menyatakan, RV dan EV mempunyai gejala serupa secara klinikal dan tidak dapat dibezakan antara satu sama lain menerusi ujian klinikal biasa.
EV-D68 kadang kala boleh menyebabkan myelitis flaccid akut (AFM) iaitu komplikasi neurologi yang jarang berlaku tetapi serius, mengakibatkan lemah anggota badan.
Kadar pemulihan seratus peratus akibat AFM dikatakan jarang berlaku. Prosesnya agak sukar, tetapi kebanyakan pesakit berupaya beransur pulih.
CDC pada tahun ini telah mengenal pasti lebih banyak kes EV-D68 dalam kalangan kanak-kanak dengan penyakit pernafasan yang teruk berbanding gabungan kes tiga tahun lepas.
“Kami jangka kenaikan ini akan berlaku pada 2020 kerana terdapat kenaikan terakhir pada 2018. Kami tidak menjangka lonjakan kes berlaku tahun ini memandangkan pelaksanaan pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial dan langkah pencegahan,” kata pakar neurologi kanak-kanak di Hospital Kanak-kanak Philadelphia, Dr. Sarah Hopkins. – AGENSI














