SEJAK sekian lama, Maldives telah menjadi destinasi pilihan pelancong dari seluruh dunia.
Namun pulau Maldives dijangka tenggelam dalam tempoh 78 tahun dari sekarang iaitu pada 2100.
Pulau itu bakal tenggelam disebabkan kesan perubahan iklim.
Kini, sebanyak 80 peratus Maldives berada kurang daripada satu meter atas permukaan laut.
Kenaikan permukaan laut pula dijangka naik hingga atas satu meter pada akhir abad ini.
Hal ini akan membuatkan hampir seluruh Maldives tenggelam sepenuhnya.
Sebagai rekod, lebih daripada 90 peratus pulau Maldives mengalami banjir.
Berdasarkan Guinness World Record, Maldives adalah negara terendah dan paling datar di dunia, dengan ketinggian maksimum mencapai 2.4 meter atas permukaan laut.
“Masa depan negara, rakyat dan budaya kita bergantung kepada tindakan yang diambil hari ini bagi mengatasi masalah ini,” kata Menteri Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Maldives, Aminath Shauna.
Negara itu terus berusaha untuk meminimumkan kesan perubahan alam.
Salah satunya adalah dengan memperkasakan persekitaran pantai.
Aminath secara terbuka meminta semua pemimpin dunia menjalankan program sama untuk mengurangkan kesan perubahan iklim.
“Kami memerlukan setiap orang dan kerajaan di dunia untuk menyedari perubahan iklim.
“Sasaran yang jelas amat diperlukan segera untuk membantu negara kecil seperti kami,” jelasnya.














