fbpx

Kurang 10 peratus pekerja domestik di Kelantan carum Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nora (tengah) bersama pegawai Perkeso berbincang mengenai maklumat data caruman pekerja domestik di Pejabat Perkeso, Kota Bharu semalam. FOTO ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU – Dianggarkan kurang 10 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja domestik di Kelantan yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga tahun ini.

Pekerja domestik terdiri daripada pembantu rumah, pemandu peribadi, tukang kebun, tukang masak, pengawal peribadi, pengawal keselamatan, penjaga orang sakit dan pengasuh bayi atau kanak-kanak.

Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob berkata, data itu diperoleh sejak penguatkuasaan pekerja domestik diwajibkan untuk mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) bermula 1 Jun tahun lalu.

Menurutnya, jumlah itu dilihat rendah dan ia merupakan cabaran utama kepada Perkeso untuk memastikan pekerja domestik mengetahui hak mereka sebagai pekerja.

“Sehubungan itu, Perkeso Kelantan memperluaskan jaringan keselamatan sosial kepada pekerja domestik dalam usaha memastikan semua pencarumnya dilindungi daripada sebarang musibah termasuk kemalangan.

“Kita juga giat turun padang untuk bekerjasama dengan pihak berkaitan di peringkat Parlimen dengan melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi memberi penjelasan berhubung caruman yang diwajibkan itu,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabat Perkeso Kelantan di sini semalam.

Mengulas lanjut, Nora berkata, majikan yang gagal mencarum kepada pekerja domestik berdepan tindakan tegas sekiranya masih berdegil.

Katanya, majikan yang mengambil pekerja domestik dalam kalangan warga tempatan dan asing sepatutnya menyedari kewajipan serta tanggungjawab mereka untuk mencarum kepada pekerja.

“Pekerja domestik juga seharusnya mendapat manfaat yang sama seperti pekerja di sektor lain. Oleh itu, kita menggesa majikan yang menggaji pekerja domestik supaya tampil ke pejabat Perkeso berdekatan untuk membuat pendaftaran dan caruman kepada pekerja mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI