fbpx

Sultan Johor kurnia 103,000 khemah bencana bernilai RM19 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tunku Ismail berkenan mewakili Sultan Ibrahim menyumbangkan 103,000 unit khemah bencana bernilai RM19 juta.

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan 103,000 unit khemah kubik bernilai RM19 juta kepada negeri-negeri seluruh Malaysia.

Kurniaan yang dibuat menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) itu bertujuan untuk digunakan semasa bencana alam bagi menempatkan mangsa-mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyempurnakan majlis penyerahan khemah kubik kepada wakil-wakil setiap negeri dalam majlis yang berlangsung di Istana Polo, Pasir Pelangi, di sini hari ini.

Setiap negeri mendapat lebih 5,000 unit khemah.

Pemegang Amanah Urusan YSIJ, Datuk Avinderjit Singh berkata, kurniaan tersebut dibuat atas keprihatinan Sultan Ibrahim terhadap rakyat negara ini.

“Baginda amat prihatin dengan kebajikan rakyat sewaktu bencana dan kurniaan khemah ini boleh digunakan untuk penempatan mangsa-mangsa di PPS,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Azmi Rohani; Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Nazran Muhammad; Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Sri Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI