GUA MUSANG – Pihak kerajaan dan agensi berkaitan harus memberi perhatian serius terhadap masalah sosial yang dihadapi masyarakat Orang Asli.
Penghulu Kampung Sendrop, Rasid Akoh, 55, berkata, masalah sosial yang berlaku di kawasan perkampungan Orang Asli dapat ditangani sekiranya diberi pendedahan dan program motivasi yang berkesan.
Katanya, agensi kerajaan harus turun padang bukan sahaja untuk memantau secara kerap tetapi juga melaksanakan program yang boleh membimbing remaja Orang Asli.
“Kita berharap masalah sosial ini dapat perhatian sewajarnya daripada agensi yang terlibat kerana saya dapat tahu remaja kahwin bawah umur dengan warga asing sudah timbul.
“Kalau boleh, mereka perlu diberi motivasi seperti ceramah atau program untuk belia kita supaya mereka tahu banyak masalah yang akan berlaku jika mereka senang percaya dan jatuh cinta warga asing itu,” katanya.
Berita berkaitan: Warga asing jerat gadis Orang Asli, lepas kahwin terus ‘hilang’
Rasid berkata, tanggungjawab menyedarkan remaja Orang Asli juga bukan hanya bergantung kepada agensi kerajaan semata-mata, namun ia juga melibatkan peranan ibu bapa dan penghulu kampung.
Katanya, sebagai penghulu, dia juga harus sentiasa prihatin dengan masalah yang berlaku dalam komuniti kampung.
“Mengikut pengetahuan saya dianggarkan kira-kira 10 kes remaja perempuan Orang Asli pernah mengikut lelaki warga asing di beberapa kampung di sekitar Lojing ini.
“Sebelum ini juga pernah ada masalah pergaduhan antara Orang Asli dan warga asing sehingga kes dibawa ke mahkamah.
“Sekiranya boleh, kita cuba atasi masalah ni bersama pihak berkuasa supaya ambil tindakan sewajarnya bagi membendung masalah sosial yang berlaku antara komuniti Orang Asli dan warga asing,” katanya.














