fbpx

15,700 anggota dan pegawai bomba tersenarai operasi Monsun Timur Laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Hamdan (dua kiri) diiringi Wan Mohammad Zaidi (kiri) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada anggota bomba Pahang di Ibu Pejabat JBPM Pahang di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Kira-kira 15,700 anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tersenarai dalam operasi pengurusan bencana sebagai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, semua yang terlibat membabitkan anggota daripada bahagian pentadbiran dan latihan di 332 buah balai bomba seluruh negara.

“Berdasarkan laporan dan ramalan MetMalaysia, berkemungkinan MTL tahun ini adalah sama dengan tahun lalu dan mungkin lebih teruk, jadi kita kena bersedia dengan jumlah pegawai dan anggota mencukupi.

“Jadi kita sudah maklumkan kepada semua pegawai dan anggota termasuk mereka yang bertugas di pejabat atau di akademi latihan untuk bersama-sama dalam operasi bencana.

“Begitu juga dengan aset yang kita ada, buat masa ini sejumlah 1,800 aset untuk kegunaan di darat dan air serta lapan helikopter jabatan yang berpangkalan di Bertam, Subang dan Miri sudah bersedia untuk digerakkan apabila berlaku banjir,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 di Ibu pejabat JBPM Pahang di sini hari ini.

Pada majlis itu, Mohammad Hamdan diiringi Pengarah JBPM Pahang, Datuk Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 75 pegawai dan anggota bomba Pahang.

Menurut Mohammad Hamdan, mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat negeri dan daerah akan diadakan bermula hujung minggu ini.

Katanya, semua jawatankuasa pengurusan bencana daerah sudah diaktifkan, sebaik sahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengeluarkan arahan selepas menyuarat diperingkat pusat bersamanya diadakan semalam.

Dalam pada itu beliau menasihatkan kepada orang ramai supaya sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan situasi banjir di kawasan masing-masing.

“Orang ramai perlu mendapatkan informasi bagi memudahkan mereka untuk melakukan berpindah jika perlu, disamping itu mengetahui situasi terkini memandangkan terdapat juga kawasan banjir yang tidak dijangka seperti di Bentong dan Maran sebelum ini.

“Selain itu pegawai dan anggota bomba bersama jentera juga ditempatkan di pangkalan hadapan tertentu seperti di Pulau Pinang bagi kawasan utara, Johor bagi barat, Kuching bagi Sibu dan Miri bagi Sarawak dan Kota Kinabalu, Tawau serta Sandakan bagi negeri Sabah supaya operasi menyelamat dan menghantar bantuan keperluan asas kepada mangsa banjir dalam diselaraskan dengan lebih berkesan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI