fbpx
YONNYBOII membawa pulang trofi AlbuM Terbaik AIM 23 menerusi album Yonny (Deluxe Version). -Foto AFIQ RAZALI

Yonnyboii ungguli Album Terbaik AIM 23, bolot RM200,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Album Yonny (Deluxe Version) mengungguli kejayaan apabila dinobatkan sebagai Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-23 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya ShaAlam (MBSA), Shah Alam, malam tadi.

Kemenangan itu melayakkan penyanyinya, Yonnyboii membawa pulang Dana Kandungan Digital (DKD) Muzik berjumlah RM200,000 daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sebagai insentif dan galakkan kepada penggiat industri kreatif.

Penyanyi yang mendapat pencalonan terbanyak iaitu enam untuk empat kategori dipertandingkan, Dayang Nurfaizah pula nyata tidak pulang dengan tangan kosong apabila memenangi tiga trofi.

Album Belagu yang juga album ke sembilan Dayang memenangi Susunan Muzik Terbaik dan Rakaman Album Terbaik selain Rakaman Lagu Terbaik menerusi Tudung Periuk.

Pengiktirafan untuk Artis Baru Terbaik diraih Vanessa Reynauld, 22, yang secara tidak langsung membolehkannya menerima DKD sama jumlah seperti Dayang iaitu RM50,000.

Video Muzik Terbaik yang berjaya dibolot Gatal nyanyian Janna Nick di bawah arahan Chuan Looi turut mendapat dana muzik sebanyak RM20,000.

Sementara itu, Ernie Zakri diiktiraf sebagai pemenang Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) menerusi Sinar Mata.

Ernie bersama suaminya, Syamel juga menang bergaya dengan kemaraan Goodbye Hello yang mengungguli kategori Lagu Terbaik yang melayakkan mereka membolot dana sebanyak RM50,000 selain Lagu Pop Terbaik.

Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) dimenangi Arddley Nicholas yang menyerlah bagi lagu Pilu sekaligus mengenepikan pencabar lebih senior.

Shila Amzah dan Liza Hanim yang mempertaruhkan lagu Bahagiakan Dia juga antara yang meraih kemenangan berganda menerusi Persembahan Vokal Duo/ Kolaborasi Terbaik Dalam Lagu dan Runut Bunyi Terbaik.

Malam AIM 23 turut memberi penghormatan kepada pencinta seni yang juga ‘bapa’ kepada syarikat rakaman tersohor tempatan iaitu Suria Records, Tan Su Loke, sebagai penerima Anugerah Sri Wirama atas jasa dan baktinya dalam melahirkan ramai penyanyi terbaik tanah air.

Dikendalikan trio sensasi, Awal Ashaari, Sherry Alhadad dan Azad Jasmin, malam penuh gilang gemilang itu mengangkat tema Glam & Sophisticated.

Antara barisan selebriti yang tampil memanaskan pentas dengan persembahan hebat seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Ella, Marsh Milan, Nikki Palikat dan Aina Abdul.

Terdahulu selepas lima tahun tertangguh, edisi ke-23 ini menerima 650 pencalonan awal untuk karya yang diterbitkan untuk tempoh satu setengah tahun bermula 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2022.

Daripada senarai berkenaan, selepas melalui tapisan ketat, hanya 105 calon dapat bolos ke kerusi finalis untuk merebut trofi bagi 21 kategori yang dipertandingkan. – KOSMO! ONLINE

POPULAR