fbpx

Tiada sampel kicap termasuk jenama ABC mengandungi sulfur dioksida

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DR. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA- Tiada sampel produk kicap soya termasuk jenama ABC dikesan mengandungi sulfur dioksida berdasarkan pemantauan dijalankan di semua pintu masuk negara dan pasaran tempatan dari Jun 2021 sehingga kini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia dinyatakan berikutan isu penarikan balik produk kicap soya manis dan sambal sos ayam goreng ABC dari pasaran oleh Pihak Berkuasa Makanan Singapura (SFA) kerana mengandungi bahan alergen iaitu sulfur dioksida yang tidak diisytiharkan atau dilabel pada pembungkusan.

Menurut beliau, melalui semakan Kementerian Kesihatan (KKM) ke atas data Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM) mengesahkan kedua-dua produk berkenaan turut diimport ke negara ini.

“Walau bagaimanapun, sejak Jun 2021 arahan Tahan Uji Lepas (TUL) telah dikenakan ke atas produk kicap soya manis berjenama ABC di semua pintu masuk negara.

“Arahan pelabelan semula atau arahan untuk dihantar semula ke negara asal turut dikeluarkan sekiranya tidak mematuhi keperluan pelabelan termasuk pelabelan sulfur dioksida,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, sulfur dioksida diklasifikasikan sebagai bahan pengawet yang dibenarkan dalam makanan tertentu dan pada paras tertentu di bawah Peraturan- Peraturan Makanan 1985.

Katanya lagi, sulfur dioksida tidak berbahaya kepada manusia apabila digunakan dalam kepekatan yang dibenarkan, tetapi ia boleh menyebabkan kesan alergik kepada sesetengah individu yang mengidap lelah atau asma apabila terhidu atau tertelan.

“Kandungan sulfur dioksida melebihi 10mg/kg hendaklah diisytiharkan atau dilabelkan,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau berkata, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Justeru katanya, sebarang maklumat atau kemusykilan berhubung isu ini dan isu-isu keselamatan makanan yang lain, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat, menyalurkan melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman rasmi facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI