fbpx

Siasatan tragedi helikopter terhempas akan dijalankan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN helikopter yang terhempas. FOTO IHSAN PDRM

PUTRAJAYA – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan bahawa satu siasatan akan dijalankan berhubung tragedi helikopter terhempas berhampiran Kampung Kenangan, Bidor di Perak, petang semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Chester Voo berkata, siasatan akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

“CAAM mengesahkan bahawa helikopter Eurocopter EC120B, pendaftaran N409HH yang dilaporkan terhempas sebelum ini telah ditemui oleh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), RESCUE01.

“Ketika ditemui berhampiran Kampung Kenangan, Bidor pada pukul 8.18 pagi, mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa warga negara Hong Kong dikenali sebagai Tsz Kin Richard Chan, 58, itu bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia di lokasi oleh pasukan penyelamat.

“Penyelarasan mencari dan menyelamat (SAR) di Kuala Lumpur Aeronautical Rescue Coordination Centre (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) tamat sebaik semua unit SAR kembali ke pangkalan dengan selamat.

“CAAM ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua anggota pasukan SAR yang terlibat,” ujar beliau.

Terdahulu, Kosmo! Online semalam melaporkan sebuah helikopter jenis Eurocopter EC120B dilaporkan hilang setelah terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada pukul 12.16 tengah hari.

Helikopter itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada pukul 11.37 pagi untuk penerbangan persendirian dan dijadualkan mendarat pukul 12.37 tengah hari di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI