fbpx

Lelaki terlebih ramai di Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KETUA Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin menyerahkan buku Statistik Subnasional Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Ab. Rauf Yusoh selepas perasmian Jelajah Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 dan Sosio Ekonomi 2021 negeri Melaka di Ayer Keroh, Melaka. Pic/AMRAN MULUP

MELAKA – Melaka mencatatkan jumlah lelaki melebihi perempuan dengan nisbah 111 lelaki kepada setiap 100 perempuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, hasil dapatan Banci Malaysia 2020 turut menunjukkan bahawa, Melaka merekodkan bilangan penduduk berjumlah 998,004 orang berbanding 790,001 orang pada 2010.

Jelasnya, kadar purata pertumbuhan penduduk tahunan adalah sebanyak 2.4 peratus dalam tempoh 10 tahun.

“Bagi komposisi penduduk umur tua iaitu 65 tahun dan lebih di negeri ini mencatatkan 6.3 peratus berbanding 6.8 peratus di peringkat nasional.

“Ini bermakna Melaka masih di bawah tujuh peratus untuk dikategorikan sebagai negeri menua,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Jelajah Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 dan Sosio Ekonomi 2021 di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang telah disampaikan Pengerusi Kanan Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Tambahnya, mengikut data Jabatan Perangkaan, daerah Jasin dikategorikan dengan komposisi penduduk umur tua paling tinggi dengan 7.9 peratus berbanding daerah lain di negeri ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, ekonomi Melaka menunjukkan tanda pemulihan dengan merekodkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bernilai RM41.8 bilion tahun lalu berbanding RM41 bilion pada 2020, iaitu kenaikan sebanyak dua peratus.

“Berdasarkan dapatan daripada penerbitan buku KDNK mengikut negeri oleh Jabatan Perangkaan pada 30 Jun lalu, KDNK Melaka pada 2020 merekodkan penurunan sebanyak 5.9 peratus.

“Ia merupakan pertumbuhan terendah dialami dalam tempoh 10 tahun sejak 2010 disebabkan penularan wabak Covid-19 yang melanda negara,” katanya.

Ujarnya, situasi itu memberi implikasi penurunan ekonomi yang terbesar buat negeri ini dan juga kepada seluruh masyarakat dunia akibat Covid-19.

Katanya, dalam usaha memulihkan semula ekonomi negeri ini, kerajaan negeri telah membentangkan Belanjawan 2021 yang merupakan bajet pemulihan ekonomi pasca Covid-19 dengan bertemakan, ‘Melaka Rumahku: Merancak Ekonomi, Membahagia Rakyat, Menggamit Dunia’. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI