fbpx

KPLB siap sedia hadapi kemungkinan banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahdzir bergambar bersama penerima pada Majlis Penyerahan Watikah JPKKP Selangor di Dewan Seri Lestari, KPLB, Putrajaya di sini, hari ini. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA- Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sudah membuat persediaan rapi termasuk mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi menghadapi banjir yang dijangka melanda negara menjelang November ini.

Menteri KPLB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai perubahan cuaca serta ramalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkenaan Monsun Timur Laut (MTL).

“Kita sudah ada pengalaman banyak kali membabitkan bencana banjir jadi persediaan peringkat awal telah dikeluarkan SOP oleh Ketua Setiausaha (Datuk Ramlan Harun) kepada semua agensi di bawah KPLB.

“Kalau dijangka bulan November (banjir) jadi dalam masa kira-kira 45 hari apa yang patut dibuat, perkara-perkara itu patut digerakkan (dari) sekarang. Kita ambil contoh KEDA (Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah) ada banyak daerah jadi daerah mana yang selalu banjir, apa yang patut dilakukan di situ dan apa yang perlu disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada 212 anggota Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Negeri Selangor di sini hari ini.

Jelas beliau, penyelarasan dari segi tindakan yang diperlukan turut disediakan bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana.

“Kita bersedia ke arah itu, kalau nak ada perahu berapa banyak diperlukan, kalau makanan kena cari kedai makan (yang sesuai) jangan bila sudah banjir baru hendak selaraskan semua,” ujarnya.

Terdahulu media melaporkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah diaktifkan segera bagi menghadapi MTL yang dijangka bermula November.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat hari ini yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata, peruntukan sebanyak RM2.59 juta disediakan bagi menaik taraf kemudahan asas dan fasiliti di semua Pusat Pemindahan Sementara seperti penyediaan bilik mandi serta tandas. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI