PETALING JAYA – Selangor FC akhirnya menamatkan kemarau lima aksi Liga Super berturut-turut tanpa kemenangan selepas menewaskan Sabah FC 3-2 di Stadium Likas, Kota Kinabalu sebentar tadi.
Tiga mata berharga itu amat berharga buat skuad Gergasi Merah untuk memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super yang ketika ini berada pada tempat kelapan dengan baki lima lagi perlawanan.
Selangor membuka perlawanan dengan langkah kanan apabila meledak dua gol dalam tempoh seminit menerusi Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi dan Brendan Gan pada minit ke-24 serta 25.
Skuad bimbingan Mohd. Nidzam Jamil itu bagaimanapun membenarkan Sabah merapatkan kedudukan melalui jaringan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-30.
Ia sememangnya membangkitkan semangat pasukan tuan rumah kendalian Datuk Ong Kim Swee apabila berjaya menyamakan kedudukan 2-2, kali ini menerusi jaringan Jose Alberto Djalo Embalo empat minit sebelum aksi babak pertama tamat.
Bagaimanapun, kemenangan sah menjadi milik Selangor apabila pemain import dari Myanmar, Hein Htet Aung meledak gol ketiga pada minit ke-76 menjadikan kedudukan 3-2 yang akhirnya kekal hingga tamat perlawanan.
Keputusan itu secara tidak langsung meletakkan Sabah dalam keadaan sukar untuk mempertahankan kedudukan kedua kerana hanya berkelebihan satu mata ke atas Negeri Sembilan FC yang berada di tempat ketiga selepas 18 perlawanan.
Empat baki perlawanan Liga Super buat Sabah selepas ini adalah menentang finalis Piala FA, Terengganu FC, Penang FC, Sri Pahang FC dan Johor Darul Ta’zim FC.
Selangor pula kembali ke landasan terbaik sebelum turun ke Alor Setar menentang Kedah Darul Aman FC pada Rabu ini diikuti Melaka United, Petaling Jaya FC, Sarawak United dan Penang FC. – KOSMO! ONLINE














