fbpx
Gambar hiasan.

Pemakaian pelitup muka di sekolah tidak lagi diwajibkan – Radzi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan sekolah susulan pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung perkata tersebut baru-baru ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pemakaian pelitup muka sama ada di dalam atau di luar bangunan sekolah adalah tidak lagi diwajibkan namun pemakaiannya adalah digalakkan.

“Esok sekolah-sekolah di negeri kumpulan A akan memulakan sesi persekolahan dan lusa adalah untuk negeri kumpulan B jadi ramai yang bertanya apakah ketetapan KPM berkaitan pemakaian pelitup muka di kawasan sekolah.

“Pemakaian pelitup muka adalah tidak diwajibkan namun KPM menggalakkan pemakaiannya sewaktu berada di dalam kawasan sekolah khususnya di tempat yang ramai orang,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik ke laman media sosial hari ini.

Tambah beliau, pada masa sama, murid-murid yang pergi ke sekolah dengan menaiki bas diingatkan agar tetap memakai pelitup muka apabila berada di dalam bas sekolah.

“Apa yang penting adalah kita bersama-sama memastikan keadaan di sekolah selamat.

“Maklumat lanjut berkaitan pemakaian pelitup muka di sekolah ini akan disertakan dalam kenyataan media rasmi KPM yang akan dikeluarkan sebentar lagi,” ujar beliau.

Terdahulu, Kosmo! Online pada 7 September lalu melaporkan Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan dalam bangunan atau di tempat tertutup berkuat kuasa serta-merta.

Ujar Khairy Jamaluddin, pemilik premis bagaimanapun diberi pilihan untuk terus meminta orang ramai memakainya dalam premis mereka.

“Berdasarkan penilaian semasa Kementerian Kesihatan (KKM) ingin mengumumkan pemakaian pelitup muka dalam bangunan dan tempat tertutup kini adalah suatu pilihan.

“Bagaimanapun pemilik premis boleh tentukan wajib pakai atau tidak. Sekarang kita serahkan kepada pemilik premis. Kalau pemilik premis putuskan kena pakai, maka kena ikut kehendak pemilik premis,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE.

POPULAR