fbpx

UPSI penuhi impian Aminuddin miliki kerusi roda elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Md. Amin (dua kanan) menunjukkan isyarat bagus selepas menyerahkan kerusi roda elektrik kepada Aminuddin.

TANJUNG MALIM – “Saya mahu berdikari dan tak mahu susahkan orang lain, syukur dan terima kasih kepada UPSI atas sumbangan kerusi roda elektrik”.

Demikian luahan pelajar Diploma Rekabentuk Pembangunan Permainan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Aminuddin Al-Hafiz Ismahisham, 20, yang juga pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) selepas menerima bantuan kerusi roda elektrik di sini hari ini.

Pelajar semester empat yang berasal dari Kota Bahru, Kelantan itu mengalami kecacatan kekal fizikal pada bahagian kaki sejak lahir, lalu memerlukan bantuan kerusi roda untuk bergerak.

“Saya sudah lama idamkan sebuah kerusi roda yang berupaya bergerak menggunakan kuasa elektrik kerana sepanjang zaman persekolahan di sekolah rendah dahulu, saya sering dibantu rakan-rakan sekelas untuk menolak kerusi roda.

“Namun bila di sekolah menengah, saya mula rasa rendah diri kerana ketika itu tak ramai yang mahu berkawan dengan saya yang berstatus OKU, apatah lagi membantu menolak saya ke mana-mana.

“Sejak itu saya tekad untuk berdikari dan bercita-cita mahu memiliki sebuah kerusi roda elektrik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aminuddin yang merupakan anak tunggal serta dibesarkan oleh neneknya hanya mampu memendam rasa memiliki kerusi roda elektrik tersebut akibat kesempitan hidup.

Tambahnya lagi, sepanjang pengajian di UPSI, pihak universiti banyak membantu menyediakan prasarana yang lengkap buatnya.

“Selain kemudahan kolej kediaman, saya turut dibantu kemudahan pengangkutan khas oleh para pegawai Bahagian Hal Ehwal Pelajar setiap kali pergi dan balik ke kelas.

Dalam pada itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, sumbangan tersebut merupakan inisiatif pihaknya membantu mahasiswa lebih-lebih lagi golongan berkeperluan khas, asnaf dan B40 sepanjang pengajian mereka di kampus.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata, beliau akan meneruskan agenda membantu kebajikan para mahasiswa melalui Seksyen Kebajikan Pelajar di jabatannya dan mengalu-alukan orang ramai dan korporat yang prihatin untuk tampil menghulurkan sumbangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI