fbpx

Selebriti dunia tangisi pemergian Ratu Elizabeth II

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA selebriti dunia yang cukup bersedih atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.

SEJAK tengah malam tadi laman maya dibanjiri layangan takziah serta ucapan penghormatan dari seluruh dunia yang sama-sama meratapi kemangkatan Ratu Elizabeth II.

Pemergian tokoh paling lama memerintah Britain dan pemerintah tertua di dunia itu nyata turut meninggalkan kesan mendalam terhadap ramai selebriti.

Bintang James Bond, Daniel Craig, yang pernah menyaksikan pembukaan Sukan Olimpik bersama Ratu kesayangan ramai itu mengakui berita menyedihkan tersebut meninggalkan kesan mendalam kepada semua orang.

DANIEL CRAIG bersalaman dengan Ratu dalam sebuah acara.

“Saya seperti ramai lagi orang lain yang dihimpit kesedihan amat sangat sebaik mendengar berita disampaikan hari ini.

“Perasaan saya bersama keluarga diraja, orang-orang yang dicintai dan semua yang mencintainya,” kata aktor asal Chester, United Kingdom itu.

Penyanyi, Sir Elton John yang mempunyai hubungan rapat dengan istana cukup beremosi ketika menzahirkan jasa dan subangan ratu.

“Saya teramat sangat sedih atas pemergian Ratu Elizabeth dan berkongsi perasaan itu bersama rakyat seluruh negara.

“Baginda banyak memberi inspirasi kepada mereka yang berada dekat dengannya.

“Memimpin negara dalam menempuh beberapa detik terhebat dan momen gelap dengan penuh rahmat, kesopanan serta penuh kasih sayang.

“Mendiang Ratu Elizabeth juga menjadi sebahagian daripada kehidupan saya sejak kanak-kanak sehingga hari ini dan saya akan merinduinya,” tulisnya dalam media sosial.

Anggota band rock ikonik Rolling Stone, Sir Mick Jagger tidak ketinggalan berkongsi memori zaman kecilnya tentang pemerintah Britain paling lama itu.

“Sepanjang kehidupan saya, Ratu Elizabeth II sentiasa ada. Ketika zaman kanak-kanak, saya masih ingat momen menonton liputan majlis perkahwinannya di kaca televisyen.

“Saya sentiasa mengenangnya sebagai wanita muda yang cantik dan nenek disayangi oleh seluruh negara. Simpati saya buat keluarga diraja,” katanya.

Aktres yang membawakan watak Ratu menerusi filem The Queen, Helen Mirren meluahkan perasaan bangga apabila berpeluang menggalas tanggungjawab sebesar itu.

“Saya bangga menjadi seorang Elizabeth. Kami berkabung untuk seorang wanita yang dengan atau tanpa mahkota adalah seorang bangsawan,” kongsinya dalam Instagram.

AKTRES Helen Mirren berbangga menggalas peranan sebagai Ratu Elizabeth II dalam filem The Queen.

Turut berkongsi kesedihan adalah David Beckham dan isterinya, Victoria yang memandang tinggi keperibadian .

“Saya benar-benar sedih atas kemangkatan Yang Mulia Ratu. Betapa besar limpahan cinta dan rasa hormat terhadapnya,” kata ikon bila sepak yang turut memuat naik gambar Ratu ketika muda.

Perasaan syahdu turut dirasai penyanyi Barbara Streisand yang meluahkan perasaan sayu dengan pemergian figura hebat berkenaan.

“Sangat sedih mendapat berita pemergian baginda ratu. Seorang sangat dihormati seluruh dunia. Semoga tenang di sana,” tulis Streisand.

Terdahulu, Istana Buckingham dalam satu kenyataan ringkas, memaklumkan kemangkatan baginda dan bermulanya tempoh berkabung selama 10 hari.

Seluruh dunia mengucapkan takziah atas kehilangan itu malah turut mengimbau zaman kegemilangan pemerintahan baginda.

Ratu Elizabeth II mangkat pada usia 96 tahun selepas dilaporkan menghidap ‘episodic mobility problems’, sejak hujung tahun lalu.

Baginda mangkat dalam keadaan tenang di Istana Balmoral, Scotland, semalam selepas 70 tahun menjadi pemerintah Britain.

Semua stesen televisyen dan radio di UK turut berkabung atas kemangkatan Ratu dengan menyiarkan pelbagai program mengimbau kembali riwayat kehidupan baginda.

Lagu kebangsaan God Save the Queen juga berulang kali dimainkan, bendera dikibarkan separuh tiang manakala loceng gereja terus berbunyi bagi memperingati figura dunia yang pernah dikenali sebagai Monarki Global Terakhir. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI