PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia awal hari ini merakamkan ucapan takziah amat takzim kepada anggota kerabat diraja, rakyat dan kerajaan Britain atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menerusi hantaran dalam laman sosial rasmi beliau pagi ini turut menzahirkan sanjungan tinggi ke atas pemerintahan tujuh dekad baginda.
“Seri Paduka merupakan seorang tokoh yang cukup berwibawa dan menerajui tempoh hayat dengan khidmat penuh dedikasi kepada rakyat United Kingdom dan Komanwel,” katanya.
Ratu Elizabeth II atau nama sebenarnya, Elizabeth Alexandra Mary, menaiki takhta pada 6 Februari 1952 susulan kemangkatan ayahandanya, Raja George VI pada tarikh berkenaan.
Media Britain melaporkan baginda yang turut merupakan pemerintah paling lama monarki Britain selama 70 tahun 214 hari, telah mangkat di Istana Balmoral, Aberdeenshire, Scotland.
Sepanjang hayatnya, baginda pernah melawat Malaysia sebanyak tiga kali termasuk ketika merasmikan upacara penutupan rasmi Sukan Komanwel XVI di Kuala Lumpur pada 1998.
Suruhanjaya Tinggi Britain di ibu negara menerusi hantaran dalam laman sosial rasminya pernah melaporkan baginda sebelum itu juga ada datang ke Malaysia pada 1972 dan 1989.
Terdahulu, pasangan baginda iaitu Duke Edinburgh, Putera Philip atau nama lainnya, Philip Mountbatten telah pun mangkat lebih awal pada 9 April 2021 lepas dalam usianya 99 tahun.
Berita kemangkatan Ratu Elizabeth II itu dimaklumkan menerusi kenyataan ringkas Istana Buckingham yang turut menyatakan tempoh berkabung di negara tersebut selama 10 hari.
Kemangkatan baginda menyaksikan putera tertua dalam kalangan empat anakandanya. Putera Charles dinobatkan sebagai pengganti ibundanya dengan gelaran Raja Charles III.
Raja baharu tersebut yang nama asalnya ialah Charles Philip Arthur George, 73, turut menjadi pemerintah diraja tertinggi kepada sejumlah 14 buah negara anggota Komanwel lain.-KOSMO! ONLINE.














