fbpx

Penunggang motosikal rosakkan cermin selepas BMW gagal beri ‘signal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cermin sisi kereta BMW milik mangsa rosak disyaki telah dirosakkan suspek di Jalan Lingkaran Tengah 2 menghala Lebuh Raya AKLEH pada 7 September lalu.

AMPANG – Mengubah haluan kereta tanpa memberi ‘signal’ dipercayai punca seorang penunggang motosikal naik berang lalu menumbuk cermin sisi sebuah kereta hingga pecah dalam kejadian di Jalan Lingkaran Tengah 2 menghala Lebuhraya Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur (AKLEH) pada 7 September lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi ketika pengadu lelaki tempatan berusia 45 tahun bekerja sebagai arkitek memandu kereta jenis BMW X3 di lokasi.

“Secara tiba-tiba datang sebuah motosikal jenis Yamaha LC yang dinaiki seorang lelaki tempatan dari arah kiri belakang telah membunyikan hon. Pada masa sama, suspek memberhentikan motosikalnya bersebelahan kereta mangsa lalu memarahinya.

“Semasa mangsa ingin membuka pintu kereta, suspek menutup pintu kereta tersebut dengan cara agak kasar, mangsa keluar dari kereta untuk berbincang namun, suspek didakwa tidak memberikan kerjasama,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa turut mendakwa suspek mahu bergaduh dengannya kerana tidak berpuas hati, namun suspek beredar.

“Semasa mangsa beredar dia ternampak melalui cermin belakang suspek memandu dengan laju lalu sambil menendang atau menumbuk cermin sisi kereta hingga pecah lalu melarikan diri,” ujarnya.

Jelas beliau, susulan kejadian itu, sepasukan polis telah menangkap suspek yang berusia 35 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori di kawasan Sungai Buloh, Selangor keesokannya.

“Turut dirampas pakaian serta motosikal yang telah digunakan semasa kejadian. Suspek didapati tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” ujarnya.

Mohamad Farouk memberitahu, kejadian dipercayai berlaku disebabkan salah faham apabila mangsa mengubah haluan kenderaan tanpa menyalakan lampu isyarat, namun begitu punca kejadian sebenar masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI