TIDAK dinafikan naskhah fenomena Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan lakonan pendukung utamanya, Datuk Adi Putra masih lagi disebut-sebut hingga ke saat ini.
Tidak keterlaluan juga untuk dikatakan, tempias kejayaan filem yang berjaya mengaut keuntungan hampir 100 juta itu masih terasa ‘bisanya’ hingga ke hari ini.
Bagi Adi sendiri, dia mengakui naskhah arahan pengarah tersohor Syamsul Yusof itu dilihat banyak memberi impak terutama dalam kerjaya lakonannya pada tahun ini.
Tidak sahaja Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, dua naskhah lain lakonan Adi yang kini masih ditayangkan di pawagam turut tidak kurang hebatnya.
Air Force The Movie: Selagi Bernyawa dan sebuah genre seram Jerangkung Dalam Almari turut mengangkat lagi nama anak kelahiran Temasek itu.

Tuah, rezeki
Kata Adi, dia menganggap itu semua sebagai rezeki dari Allah selepas apa yang melanda dirinya dan rakan-rakan seperjuangan lain dalam industri.
“Dua dan hampir tiga tahun kita tidak boleh bekerja dan cari rezeki disebabkan pandemik Covid-19. Dua tahun juga saya berehat tanpa boleh berbuat apa-apa.
“Jadi, mungkin berkat kesabaran daripada ujian yang menimpa, Allah turunkan pula rezeki berlipat ganda ini buat saya dan teman-teman lain. Alhamdulillah,” katanya.
Berpeluang bertemu dengan insan hebat dan cukup disegani lakonannya ini, Adi turut menyifatkan tahun 2022 ini sebagai tahun tuah baginya.
“Nak kata tuah sangat tu, tidaklah terlalu begitu. Tetapi alhamdulillah. Rezeki tahun ini Allah bagi lebih sikit.
“Tak sangka juga lepas je habis Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan negara memasuki fasa endemik, ketiga-tiga naskhah saya ditayangkan serentak.
“Bermula dengan Mat Kilau dan disusuli dengan Jerangkung Dalam Almari dan terbaharu Air Force The Movie, semuanya diterima baik hingga ke saat ini,” katanya.

Rehat, penat
Meneruskan perbualan, Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putra Halim sekali lagi mengakui, tahun 2022 juga menjadi tahun ‘penat’ buat dirinya, namun tetap bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan.
Kata Adi, tidak dinafikan, kerja ‘back to back’ termasuk menyertai rangka dan jelajah promosi bagi kesemua naskhah melibatkan dirinya membuatkannya sedikit lelah.
“Tipulah kalau saya kata tidak letih kerana saya juga manusia biasa. Kita bukan robot apatah mesin. Tetapi apapun keletihan ini semua membuatkan saya lagi semangat untuk terus bekerjaya.
“Penat itu perkara normal. Apapun kerja yang kita lakukan pasti ada penat dan habuan di kemudian hari. Lagipun dah dua tahun lebih kita rehat, jadi tiba masa kita bekerja semula,” ujarnya.
Jelas Adi, bermula bulan Oktober hingga hujung Disember nanti, dia mahu berehat sebentar daripada kerja-kerja seni.
“Awal-awal lagi saya dah cakap kepada pengurusan untuk rehat seketika sepanjang tiga bulan itu nanti. Rehat bukan nak ke mana, cuma saya nak fokus ibadah dan kerja-kerja pengurusan umrah bersama syarikat sendiri.
“Insya-Allah untuk tiga bulan itu nanti, saya akan temankan jemaah-jemaah umrah ke Tanah Suci untuk tunaikan ibadah tersebut,” katanya yang akan mula bertolak ke sana awal Oktober nanti bersama.
Tidak setakat berehat, Adi juga kini mula berjinak-jinak dengan sebuah perniagaan minyak aroma terapi dengan nama Amrani bersama sebuah syarikat bumiputera.

‘Main minyak’
Kata Adi, kerjasama yang terjalin tidak pernah dirancang dan hadir begitu sahaja secara kebetulan semasa PKP berlangsung.
“Sepanjang PKP dan tak ada kerja sebelum ini, saya ada kenal dengan pengasas sebuah syarikat bumiputera ini.
“Jadi kami duduk bersama dan sepakat untuk hasilkan sebuah produk minyak aroma terapi yang boleh digunakan sesiapa sahaja.
“Jadi bincang punya bincang, kami sepakat untuk jalinkan kerjasama sebagai rakan pengasas. Lama juga kami ‘main minyak’ termasuk melalui proses kajian dan pembangunan (R&D) demi nak dapatkan hasil produk yang benar-benar berkualiti.
“Alhamdulillah, hasilnya kami berpuas hati dan sudah pun dilancarkan baru-baru ini dan boleh didapati semua menerusi atas talian,” katanya yang kini sudah mula berehat dan fokus terhadap promosi filem sahaja.














