fbpx

Tiada konsep karma dalam Islam – PMWP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Tidak wujud konsep karma dalam Islam dan setiap umat Islam perlu yakin bahawa apa yang berlaku di dunia ini adalah kehendak dan kuasa daripada Allah S.W.T.

Itu jelas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) berhubung persoalan yang berlegar di media sosial kononnya seseorang berbuat jahat akan dibalas dengan hukum karma.

PMWP berkata, setiap umat Islam perlu meyakini sebab dan akibat tanpa campur tangan kuasa Allah ialah suatu bentuk kekufuran dan umat Islam wajib meyakini setiap balasan sama ada yang baik mahupun buruk ialah daripada Allah S.W.T.

Menurutnya, konsep karma adalah kepercayaan dalam agama hindu dan berbeza dengan kepercayaan agama Islam.

“Konsep Karma yang ada dalam agama hindu jelas bercanggah dengan akidah Islam. Islam meyakini bahawa segala kejahatan yang dilakukan oleh manusia akan dibalas sama ada di dunia mahupun akhirat.

“Setiap yang terjadi di alam ini kesemuanya adalah ketentuan dan kuasa dari Allah S.W.T malah, peredaran bulan dan bintang di atas paksinya juga adalah dengan kehendak dan ketentuan Allah SWT,” katanya.

Katanya, Islam mengiktiraf konsep setiap perbuatan sama ada baik atau buruk akan dibalas oleh Allah S.W.T sama ada di dunia atau akhirat berdasarkan apa yang dilakukan.

Oleh itu, katanya, umat Islam perlu sentiasa melakukan kebaikan kepada orang lain dan menjauhkan diri daripada berbuat kejahatan kepada orang lain.

Karma adalah suatu konsep yang berasal daripada bahasa sanskrit dan mempunyai asas kepercayaannya dalam Hinduisme, Buddhisme serta Jainisme dan mula dijumpai di dalam teks lama Hindu iaitu Rigveda yang kemudiannya dikembangkan perbincangannya di dalam Upanishad.

Secara terminologi, karma bermaksud ‘perbuatan yang memberi kesan kepada hasil atau keputusan’, dan seterusnya difahami sebagai konsep ‘timbal-balik’ atau ‘sebab-akibat’ daripada perbuatan seseorang manusia di atas dunia .- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI