BALING – Penduduk di Kupang di sini terutama di Kampung Iboi dan kawasan sekitarnya tidak sanggup lagi hidup dalam ketakutan dan trauma selepas kawasan tersebut dilanda kepala air dan banjir lumpur buat kali ketiga pada tahun ini.
Kejadian terbaharu pada pukul 5.30 petang kelmarin benar-benar membuatkan sanubari mereka resah dan cemas apabila melihat arus deras yang membawa lumpur dan batang pokok membadai Sungai Kupang hingga membuatkan jambatan Bailey rosak dan terpaksa ditutup.
Jambatan sementara sepanjang 27 meter dibina oleh Jabatan Kerja Raya dan Angkatan Tentera Malaysia bagi menggantikan jambatan konkrit asal yang runtuh dalam tragedi banjir lumpur pada 4 Julai lalu.
Bukan itu sahaja, rumah dan harta benda penduduk banyak yang rosak hingga ada yang mengalami kerugian mencecah ratusan ribu ringgit di dalam bencana yang berlaku dalam sekelip mata tersebut.
Seorang peruncit, Abdul Rahman Ahmad, 70, berkata, mereka sekali lagi terpaksa berdepan dengan keadaan hura-hara kerana penduduk bergegas menyelamatkan diri ke tempat tinggi sebaik melihat paras Sungai Kupang naik dan mengalir deras.

Katanya, bertambah trauma apabila melihat arus deras dari Gunung Inas itu turut membawa banyak batang pokok yang kemudian tersekat pada jambatan Bailey hingga mengakibatkannya rosak dan berganjak dari kedudukan asal.
“Kami mulai bimbang apabila hujan lebat di Gunung Inas, hati berdebar-debar apabila melihat paras sungai meningkat dengan membawa banyak batang pokok.
“Batang itu kemudian tersekat di jambatan. Saya segera berdoa agar batang pokok itu tidak menghentam kawasan rumah dan kedai runcit saya. Syukur ia lalu di tepi sahaja,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Abdul Rahman, isterinya enggan tinggal di situ lagi kerana masih trauma dan mereka kerugian RM300,000 kerana banyak peralatan serta barang jualan rosak.
Tambahnya, kerajaan Pusat dan negeri perlu bertindak segera dalam menangani masalah tersebut seperti mendalamkan sungai serta kolam di ladang durian musang king perlu dikeringkan.

“Saya baru hendak mulakan perniagaan hari ini (semalam) selepas dibersihkan dan dibaiki akibat bencana pada 4 dan 28 Julai lalu tetapi tak kesampaian kerana kedai dan barang-barang kembali rosak,” katanya.
Penduduk Kampung Padang Empang, Siti Mariam Abdul Isa, 70, berkata, dia cuba memindahkan barangan elektrik ke tempat tinggi selepas terdengar jeritan anaknya memaklumkan Kampung Iboi dinaiki air.
“Peti ais dan mesin basuh gagal diselamatkan dan tenggelam dalam air. Saya dan suami, Saad Md. Piah, 70, yang mengalami strok kemudian dikeluarkan oleh pasukan penyelamat,” katanya.
Menurut Siti Mariam, dia berasa sedih dan penat kerana kejadian sama masih berulang dan tiada tindakan jelas dilakukan kerajaan.

Ekoran kejadian itu, 130 mangsa daripada 37 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara Dewan Terbuka Kampung Padang Empang dan Dewan Masjid Al Huda Kampung Hangus.
Dalam kejadian pada 4 Julai lalu, tiga sekeluarga maut, manakala lebih 1,000 rumah terjejas dalam kejadian aliran puing dan banjir lumpur. Kawasan sama sekali lagi dilanda banjir pada 28 Julai lalu.














