fbpx

Pembinaan kilang bakal tawar lebih 500 peluang kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (tengah) pada Majlis MoU di Seremban 2, Negeri Sembilan.

SEREMBAN – Pembinaan sebuah kilang pembuatan komponen semikonduktor membabitkan nilai pelaburan RM1 bilion bakal menyediakan lebih 500 peluang pekerjaan kepada penduduk khususnya di Negeri Sembilan.

Pembinaa kilang di Seremban 2 di sini itu adalah kerjasama dua syarikat iaitu Metalmach Micro Technology (MMT) yang mengeluarkan alat ganti besi berketepatan tinggi dan syarikat pembekal bahan bantuan pembuatan dari China, Future Hover Industrial Co. Ltd (Future Hover).

Pengarah Operasi MMT, Low Kim Yoong berkata, menerusi kerjasama itu bukan sahaja menguatkan kedudukan kedua-dua syarikat di rantau ini, malah meningkatkan posisi Malaysia yang dikenali dalam sektor pembekalan.

“Ini juga akan membolehkan Malaysia menjadi pilihan utama untuk penghasilan semikonduktor secara global berdasarkan permintaan yang meningkat dan pengembangan pesat dalam sektor itu di Asia Tenggara.

“Kerjasama ini membolehkan pengurusan menyeluruh termasuk aspek pemasangan sekali gus menjadikan kami antara pemain terkuat dalam industri pembekalan semikonduktor,” katanya pada Majlis Perjanjian Persefahaman (MoU) antara MMT dan Future Hover hari ini.

Kim Yoong berkata, pihaknya yakin melalui pelaburan RM1 bilion itu akan dapat menjana sebanyak RM10 bilion daripada hasil jualan eksport dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Kilang yang akan dibina berperanan sebagai hab untuk pembekal dalam dan luar negara bagi memperolehi barangan yang lebih berdaya saing.

“Kami juga berharap untuk membekalkan latihan teknikal dan pemahaman yang lebih mendalam di dalam industri sebagai salah satu usaha untuk menjana populasi pekerja mahir di Negeri Sembilan dan negara ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Future Hover, Guan Mei Ying menjelaskan, Malaysia merupakan lokasi ideal kepada syarikatnya untuk bertapak di Asia Tenggara.

“Faktor seperti kesediaan tenaga mahir, lokasi strategik dan infrastruktur yang membangun mampu memberi impak yang besar kepada operasi perniagaan kami.

“Kerjasama ini menjanjikan pelbagai peluang pekerjaan hasil daripada penggabungan pengetahuan, kepakaran dan sumber dari dua buah negara,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI