fbpx

Hanya 3 individu derma organ di Kelantan dalam tempoh 16 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Izani (kiri) dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Zaini Hussin pada Majlis Sambutan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Negeri Kelantan 2022. FOTO/ ROHANA MOHD. NAWI

KOTA BHARU – Kelantan mencatatkan penderma organ terendah berbanding negeri-negeri lain apabila hanya tiga individu tampil dan bersetuju untuk menderma organ sejak 2006.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, berdasarkan statistik, hanya tiga individu menderma organ kepada ahli keluarga mereka sehingga Ogos lalu di negeri ini.

Menurutnya, bagaimanapun, permintaan terhadap organ-organ manusia tinggi ketika ini, namun bekalannya sedikit disebabkan perolehan organ yang rendah.

“Sehingga Mac lalu, seramai 4,664 pesakit sedang menunggu untuk menerima pelbagai jenis organ di Kelantan. Daripada jumlah itu, seramai 4,651 individu merupakan pesakit buah pinggang, manakala selebihnya hati dan jantung.

“Seseorang yang menderma buah pinggang selepas kematian mampu memberi manafaat kepada empat nyawa. Setakat ini, seramai 12,946 orang telah mengikrar untuk menderma organ mereka di Kelantan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Negeri Kelantan 2022 di sebuah pusat beli-belah di Lembah Sireh di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan statistik itu, jelas menunjukkan kesedaran penderma organ dalam kalangan masyarakat di Kelantan masih rendah meskipun Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 1970 memutuskan menderma organ dan tisu hukumnya adalah harus.

Menurutnya, ini kerana pemindahan dan pendermaan organ memenuhi tuntutan memelihara nyawa manusia yang merupakan salah satu daripada Maqasid Syariah.

“Kebanyakan orang Islam masih ragu-ragu dan salah faham berkaitan isu derma organ. Mereka beranggapan pendermaan organ boleh menyeksa mayat dan kerisauan jika bangkit di Padang Mashyar, jasad penderma tidak akan sempurna,” katanya.

“Pandangan ini hanya salah faham kerana pendermaan organ akan mengelakkan mudarat yang lebih besar, malah penderma boleh menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan organ berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI