fbpx

P. Pinang bantu pengusaha produk makanan, kosmetik dapat sijil halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Halim (kanan) ketika berucap sempena Kursus Pemerkasaan Sijil Halal kepada Pengusaha Kafe USM dan Pengusaha Kantin Sekolah di Pulau Pinang di USM hari ini.

GEORGE TOWN – Sebanyak RM288,000 diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam bentuk geran bagi membolehkan pengusaha-pengusaha produk makanan serta barangan kosmetik di negeri ini khususnya mendapatkan pensijilan halal pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain berkata, daripada jumlah itu, setiap pengusaha terpilih akan menerima peruntukan sebanyak RM200 bagi permohonan mendapatkan sijil berkenaan manakala RM120 pula diperuntukkan untuk mereka yang mahu memperbaharui sijil yang sama.

Menurutnya, kerajaan negeri sememangnya menggalakkan kumpulan pengusaha-pengusaha terbabit untuk memohon pensijilan halal.

“Sambutan yang kita terima pada tahun ini sangat menggalakkan dan insyaAllah, kita akan berusaha untuk habiskan peruntukan yang disediakan pada tahun ini bagi memastikan lebih ramai pengusaha produk makanan dan kosmetik terutamanya mendapatkan sijil halal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kursus Pemerkasaan Sijil Halal kepada Pengusaha Kafe Universiti Sains Malaysia (USM) dan pengusaha kantin sekolah terpilih dari seluruh Pulau Pinang di USM, di sini hari ini.

Selain Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Penang Halal International (PHI) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), kursus yang julung kalinya dianjurkan oleh Pusat Pengajian Pengurusan USM itu turut mendapat kerjasama daripada Bahagian Jaringan Industri dan Komuniti USM.

Sambutan yang diterima daripada kalangan peserta juga agak memberangsangkan apabila lebih 120 pengusaha yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 50 pengusaha kafe di USM dan 70 pengusaha kantin sekolah di Pulau Pinang mengambil bahagian dalam kursus berkenaan.

Sementara itu, Pengarah program itu, Prof. Madya Dr. Anees Janee Ali pula berkata, pelaksanaan kursus itu bukan sahaja mempermudahkan urusan pengusaha-pengusaha yang berkenaan memperoleh sijil halal, namun, turut menggalakkan mereka untuk menghasilkan produk makanan yang lebih bermutu tinggi dan bersih sekaligus mengelakkan berlakunya sebarang keracunan makanan dan sebagainya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI