ISLAMABAD – Pegawai-pegawai kesihatan memberi amaran mengenai bahaya penularan wabak penyakit berskala besar di Pakistan selepas banjir dahsyat mengakibatkan berjuta-juta penduduk hilang tempat tinggal, lapor akhbar Guardian kelmarin.
Peningkatan kes cirit-birit dan demam malaria dilaporkan selepas hujan lebat selama beberapa bulan menyebabkan penduduk terkandas tanpa bekalan air bersih.
Pihak berkuasa berkata, mereka bimbang tentang penyebaran wabak bawaan air ketika banjir semakin surut dan mengorbankan hampir 1,200 orang. Penyakit pasca banjir akan menyebabkan sistem penjagaan kesihatan semakin tertekan.
“Lebih 880 klinik telah rosak,” demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan sambil menambah, WHO memperuntukkan sebanyak AS$10 juta (RM44 juta) untuk usaha bantuan kesihatan kecemasan kepada Pakistan kelmarin.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, agensinya mengklasifikasikan banjir Pakistan sebagai tahap kecemasan tertinggi.
“Ancaman penyakit bawaan air bermakna akses kepada perkhidmatan kesihatan dan pemantauan serta kawalan penyakit menjadi keutamaan utama WHO,” katanya
Ketua pengarah WaterAid Pakistan, Arif Jabbar Khan telah melawat Sindh yang merupakan wilayah paling teruk terjejas selepas hujan lebat bermula Jun lepas. Menurutnya, terdapat risiko besar berlaku wabak taun dan disentri kerana kekurangan air bersih.
“Keluarga-keluarga kini tinggal di pondok-pondok dibina daripada buluh dan plastik di tebing terusan dan sungai yang melimpah. Mereka juga minum air banjir kerana tiada pilihan lain. Ini adalah resipi untuk wabak penyakit berskala besar. Kami melakukan semua yang kami mampu untuk membantu mereka,” kata Khan.
Sekurang-kurangnya 33 juta orang terjejas akibat banjir kali ini yang telah mencemarkan sumber air dan menyebabkan tandas tidak dapat digunakan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pakistan dana AS$160 juta (RM717.4 juta) untuk menyediakan bantuan kecemasan kepada 5 juta orang termasuk makanan, air bersih, sanitasi dan tempat tinggal.
WHO pula berkata, pihaknya bekerjasama dengan kerajaan Pakistan untuk menangani wabak cirit-birit, taun dan penyakit lain. Kata mereka, banjir juga memburukkan lagi wabak sedia ada itu demam malaria dan denggi.
Kedua-dua pihak turut memberi amaran tentang kesan buruk banjir dalam usaha menangani penyakit lain seperti demam campak dan polio. Pakistan dan Afghanistan adalah satu-satunya negara dunia di mana polio masih endemik.
Dalam pada itu, agensi-agensi bantuan memberi amaran tentang kesukaran dihadapi oleh wanita hamil dan remaja perempuan yang datang bulan. UNFPA iaitu agensi kesihatan reproduktif PBB menganggarkan terdapat 650,000 wanita hamil di kawasan terjejas banjir di Pakistan, manakala 73,000 daripada mereka dijangka bersalin bulan depan. – Agensi