DUA puluh lima tahun yang lalu, masyarakat dunia berduka apabila menerima perkhabaran mengejut tentang kematian Puteri Wales, Diana Frances dalam satu kemalangan di Perancis.
Tragedi berlaku apabila kenderaan yang dinaiki bersama rakannya, Dodi Al-Fayed dipandu laju menelusuri laluan terowong Pont de l’Alma, Paris, Perancis oleh pemandunya, Henri Paul.
Peristiwa yang meragut nyawa puteri berjiwa rakyat pada tanggal 31 Ogos 1997 itu bukan sahaja menjadi tajuk utama media cetak dan elektronik selama beberapa minggu berturut-turut, bahkan dikenang masyarakat dunia sehingga kini.
Dikenali sebagai figura yang disenangi dan disayangi ramai, semuanya meratapi pemergian Puteri Diana.
Bukan itu sahaja, majlis pemakaman puteri itu di Westminster Abbey, London juga disiarkan secara langsung menerusi kaca televisyen dan ditonton oleh lebih 2.5 bilion penonton.
Jasadnya mungkin lenyap dimamah bumi, namun segala jasa dan sumbangannya masih segar di ingatan seluruh masyarakat alam sehingga ke hari ini.
Beliau membawa 1,001 kebaikan ke dalam dunia dan kaya dengan sifat kemanusiaan serta berjaya menyentuh begitu ramai individu yang memerlukan kasih sayang.

Mengakui perkara tersebut, seorang wartawan Inggeris, Andrew Morton berkata kepada Reuters, biarpun 25 tahun telah berlalu, namun kisah Puteri Diana masih lagi diingati masyarakat dunia terutamanya di England.
“Diana masih memberi impak apabila terdapat dokumentari dan cerita yang tidak putus-putus ditulis mengenainya. Ini menandakan orang ramai masih tertarik dengan wanita ini.
“Sejak kematiannya, ratusan dokumentari dihasilkan bagi mengenang pemergian puteri berjiwa rakyat ini. Dia mempunyai karisma dan daya tarikan tersendiri yang melampaui nama dirajanya. Ternyata beliau merupakan seorang manusia yang luar biasa.
“Adakah Diana, ratu hati rakyat? Lihat sahaja buktinya apabila hamparan bunga ditabur bagi meratapi pemergiannya sehingga ada yang menganjurkan upacara perkabungan yang lebih hebat berbanding ahli keluarganya sendiri,” kata Morton.
Memiliki keperibadian yang tulus, Puteri Diana menggunakan statusnya untuk kerja-kerja sosial.
Beliau dikenali atas misi kemanusiaannya, termasuk menyokong pengharaman periuk api dan meningkatkan kesedaran untuk penyakit kusta.
Bahkan beliau juga merupakan satu-satunya puteri diraja yang selamba berjabat tangan dengan pesakit AIDS tanpa sarung tangan pada tahun 1987 tanpa rasa takut.

Kata Diana, semua itu dilakukan bagi menghilangkan mitos mengenai penyakit tersebut boleh merebak melalui sentuhan.
Bukan sahaja disanjung sebagai puteri dan semangat aktivisnya, Diana bahkan diangkat sebagai ikon fesyen apabila pakaian yang dikenakannya menjadi ikutan wanita-wanita di seluruh dunia.
Pemergian mengejutnya begitu dirasai dan sukar untuk dipercayai masyarakat dunia serta kerabat diraja, terutamanya kedua-dua anak lelakinya, Putera William dan Putera Harry yang masing-masing ketika itu berusia 15 dan 12 tahun.
Kisah Diana diibaratkan seperti kisah dongeng yang berakhir dengan tragedi. Bermula dengan lamaran daripada seorang putera kacak, beliau menjadi seorang puteri yang sangat cantik dan hidup dengan kemasyhuran sebelum dirinya melalui beberapa siri pengkhianatan dan akhirnya terlibat dalam satu tragedi yang meragut nyawa.
Mengimbau kembali tragedi duka yang berlaku terhadap ibunya, menurut anak bongsu mendiang, Putera Harry, sehari sebelum kemalangan, ibunya menelefon beliau ketika dia dan abangnya, Putera William sedang bercuti di Istana Balmoral, Scotland.

Bercakap kepada ITV Britain untuk sebuah dokumentari bersempena dengan ulang tahun kematian ibunya pada tahun 2017, Harry pernah mendedahkan kekesalan mereka adik- beradik sewaktu perbualan terakhir bersama mendiang ibunya.
“Dia membuat panggilan dari Paris. Saya tidak begitu mengingati apa yang diperkatakannya.
“Apa yang menjadi sesalan sepanjang hidup saya ialah apabila panggilan telefon tersebut dibuat terlalu singkat kerana kami begitu tergesa-gesa mahu menamatkan perbualan dek keseronokan percutian.
“Beliau merupakan ibu paling hebat yang telah melahirkan saya,” katanya.
Mengagumi ibunya, Putera Harry bersama abangnya telah membina tugu peringatan bagi memperingati mendiang ibunya di Sunken Garden, Istana Kensington, London ketika ulang tahun kematian ibunya yang ke-20.
Akui Harry, setiap saat beliau dapat merasakan kehadiran Diana di sisi biarpun putera berusia 37 tahun ini masih lagi teringatkan perasaannya tatkala berjalan di samping keranda bonda tercintanya 25 tahun lalu.
“Beliau telah pergi meninggalkan kami dan pada waktu itu, saya perlu berjalan jauh di belakang kerandanya sambil dikelilingi ribuan orang yang melihat dari jauh.
“Itu belum lagi dengan jutaan masyarakat yang menonton menerusi kaca televisyen.
“Saya juga hairan apabila melihat begitu ramai orang menangisi kematian ibu dan menunjukkan emosi yang keterlaluan berbanding diri saya sendiri biarpun mereka tidak pernah bersua.
“Bahkan pada waktu itu juga, saya tidak begitu merasai pemergiannya dan beranggapan membesar tanpa ibu satu perkara biasa,” ujarnya.

Bagaimanapun seiring dengan kematangan usia, putera bongsu Puteri Diana itu mula menyedari erti kehilangan.
“Saya tidak merasakan situasi seperti itu perlu dilalui oleh mana-mana kanak-kanak dalam apa juga keadaan sekalipun. Tidak sama sekali meskipun dalam dunia hari ini.
“Ahli keluarga yang lain mengatakan, saya mampu melaluinya dengan mudah, tetapi ternyata ia satu perkara sukar memandangkan terlalu banyak momen bersama ibu yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
“Saya terasa seperti seluruh jiwa terkeluar daripada tubuh dan terperangkap di dunia asing.
“Satu-satunya cara untuk membebaskan diri daripada belenggu ini adalah dengan tidak memendamnya dan berterus terang tentang apa yang dirasakan,” luahnya.
Mengenang 25 tahun pemergian ibunya, Putera Harry ketika ditemui pemberita dalam satu perlawanan polo di Aspen, Colorado, Amerika Syarikat baru-baru ini berkata, dia tidak akan melupakan mendiang ibunya sampai bila-bila.
Malahan setiap hari, beliau masih merasakan kehadiran ibunya di sisi dan mahu membuatkannya bangga.
“Dalam bahasa Sesotho, bahasa Basotho, perkataan Sentebale bermaksud ‘jangan lupakan saya.’ Minggu ini merupakan ulang tahun ke-25 kematian ibu dan saya pasti beliau tidak akan dilupakan.
“Saya mengharapkan masyarakat mengingatinya atas segala kebaikan yang dilakukannya dan semangat yang ada pada dirinya,” tuturnya.
Tidak akan ada individu lain yang memiliki keperibadian sama seperti Diana, kehadirannya disifatkan sebagai bercahaya, penuh karisma dan berperikemanusiaan yang tiada tandingan.
Meskipun telah meninggal dunia, namun puteri ini masih lagi berjasa kepada rakyat dan menjadi inspirasi jutaan manusia apabila beliau masih membantu orang-orang yang memerlukan menerusi yayasannya, Diana, Princess of Wales Memorial Fund.














