fbpx

Wisma Putra prihatin nasib 2,500 banduan Malaysia di luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAIFUDDIN Abdullah (tiga dari kiri) menunjukkan Kad Laporan Setahun Kementerian Luar pada sidang akhbar di Wisma Putra, Putrajaya hari ini. - Foto AMREE AHMAD

PUTRAJAYA – Kementerian Luar memberi jaminan bahawa pihaknya sentiasa prihatin dengan nasib lebih 2,500 banduan Malaysia yang berada dalam penjara di seluruh dunia.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menegaskan, Wisma Putra turut memantau aspek kebajikan tahanan terbabit yang menghuni kira-kira 40 buah penjara di luar negara.

“Saya sendiri semalam bertemu Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz) bincang amat dalam mengenai isu banduan ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau membentangkan Kad Laporan Setahun Kementerian Luar bersempena genap setahun dilantik ke jawatan itu dalam jemaah Kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Media tempatan pada awal tahun lepas ada melaporkan rayuan ahli kumpulan band muzik tempatan Fotograf, Sham Ahmad mengenai isu banduan Malaysia di penjara negara asing.

Ia susulan banyak kes tahanan terutama beragama Islam tidak dilayan sewajarnya dari aspek makanan halal dan ibadah harian selain kurang dikunjungi wakil daripada kedutaan sendiri.

Mengulas lanjut, Saifuddin menjelaskan bahawa, isu tahanan rakyat Malaysia di luar negara akan dijadikan antara lima tumpuan utama gerak kerja oleh Wisma Putra pada tahun depan.

“Saya turut mengadu kepada Menteri Kewangan kerana kerja konsular amat dekat dengan rakyat kita yang ada masalah di luar negara tetapi Wisma Putra tidak cukup dana,” katanya.

Justeru, beliau berharap menerusi pembangunan sistem e-Konsular versi 3.0 kelak akan dapat memudahkan Wisma Putra dalam memberikan perkhidmatan lebih pantas dan berkesan.

Inisiatif jangka panjang itu ujarnya, bakal melancarkan pengurusan dokumentasi rasmi warga Malaysia di seluruh dunia seperti surat pengesahan kematian untuk proses pengebumian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI