Peszta merupakan program anjuran Menara Merdeka 118 (Merdeka 118), binaan yang dimiliki Permodalan Nasional Berhad (PNB) Merdeka Ventures Sdn. Bhd. bagi meraikan bulan kemerdekaan ini bersama komuniti berhampiran di Kampung Attap, Kuala Lumpur.
Usaha ini dilihat suatu yang begitu signifikan memandangkan Merdeka 118 sendiri merupakan binaan yang disandarkan kepada peristiwa laungan kemerdekaan. Menara yang masih dalam pembikinan itu mula dibina pada 3 Julai 2014.
Peszta dijayakan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta komuniti sekitar Kampung Attap.
——————————————————————————————————————————————–
SEMANGAT nasionalisme yang menebal dalam diri Haziq Ali telah mendorongnya berkunjung ke program Peszta di Kampung Attap, Kuala Lumpur yang merupakan anjuran pemilik Menara Merdeka 118 (Merdeka 118) pada hujung minggu lalu.
Kehadiran remaja berusia 19 tahun itu sambil ditemani dua rakan ke kawasan tersebut adalah untuk menyorot kembali sejarah kemerdekaan tanah air pada 31 Ogos 1957.
Dia sebenarnya turut berhasrat merasai aura Stadium Merdeka yang terletak berhampiran kampung itu memandangkan stadium tersebut pernah menjadi saksi laungan kemerdekaan oleh Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Malangnya, Stadium Merdeka masih ditutup bagi kerja-kerja pengubahsuaian oleh penjaga monumen ikonik tersebut iaitu Permodalan Nasional Berhad (PNB) Merdeka Ventures Sdn. Bhd. yang turut merupakan pemilik Merdeka 118.
Bagaimanapun, pelajar diploma Universiti Teknologi Malaysia itu masih boleh melawat stadium tersebut
menerusi pameran interaktif dan lawatan maya 360 darjah di tingkat satu, Bangunan Zhongshan di Kampung Attap dalam program tersebut.

ORANG ramai terutama komuniti sekitar binaan Merdeka 118 menyaksikan pameran kemerdekaan di Bangunan Zhongshan, Kampung Attap menerusi program Peszta.
“Menerusi penganjuran program Peszta, saya berpeluang melihat lebih dekat Stadium Merdeka. Meskipun secara maya kerana masih ditutup, namun ia masih boleh mengembalikan nostalgia 31 Ogos 1957.
“Di sini juga saya berpeluang menonton klip video detik-detik pengisytiharan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman. Video-video ini memaparkan angle berbeza daripada yang pernah kita tonton dalam televisyen. Misalnya, ia paparkan detik ketibaan Tunku Abdul Rahman ke Stadium Merdeka serta wajah-wajah orang ramai sewaktu menunggu detik bersejarah itu,” katanya kepada K2.
Peszta merupakan program anjuran Menara 118 bagi meraikan sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini bersama komuniti setempat terutamanya di Kampung Attap.
Usaha ini dilihat suatu yang begitu signifikan memandangkan Merdeka 118 sendiri merupakan binaan yang disandarkan kepada peristiwa laungan kemerdekaan. Menara yang masih dalam pembikinan itu mula dibina pada 3 Julai 2014.
Peszta dijayakan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta komuniti sekitar Kampung Attap.
Program sehari itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik bagi menonjolkan kepelbagaian seni dan budaya tempatan serta sejarah kepada masyarakat terutama generasi muda.
Haziq memaklumkan, dia berasa sangat bertuah dapat mengunjungi Peszta memandangkan program itu sarat pelbagai pengisian menarik.
“Program seperti ini sangat menarik dan interaktif. Di sinilah, anak muda seperti kami dapat mengenal budaya dan sejarah negara. Saya harap program ini dapat diteruskan pada masa depan,” ulasnya lagi.
Antara aktiviti menarik yang dijalankan termasuk persembahan wayang kulit, ceramah sastera, persembahan kebudayaan dan bagpipe, pameran kesenian, Borneo MTV, gerai jualan serta trak makanan.

Program berkenaan dimeriahkan oleh persembahan artis dan kumpulan indie tempatan seperti Francissca Peter, The Impatient Sisters, SevenCollar T-Shirt dan Fugo.
Pengunjung turut berpeluang menyaksikan aksi kemuncak Bakat Idola Merdeka K2K iaitu pertandingan nyanyian yang mengetengahkan bakat-bakat muda dari Program Perumahan Rakyat (PPR) Hang Tuah, Sri Sarawak dan Loke Yew.
Salah seorang penduduk sekitar, Sendy Saputra Nawir, 30, memaklumkan, program tersebut amat menarik kerana menjadi lokasi masyarakat pelbagai kaum berkumpul.
“Program seperti ini mampu menaikkan semangat patriotik komuniti setempat menerusi aktiviti berteraskan kebudayaan dan sejarah serta lagu-lagu yang dipersembahkan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Tengku Datuk Ab. Aziz Tengku Mahmud berkata, penganjuran Peszta adalah selaras dengan kehadiran mercu tanda baharu, Merdeka 118.
Jelasnya, ia merupakan sebahagian daripada langkah pihak Merdeka 118 untuk meraikan sambutan kemerdekaan bersama komuniti setempat dalam usaha menjalin hubungan erat.
“Kami sangat berbesar hati dapat menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-65 bersama masyarakat pelbagai bangsa di presint Merdeka 118. Program ini pertama kali dianjurkan dan kami menyasarkan pengunjung seramai 4,000 orang.
“Visi utama kami adalah untuk mengembalikan semangat kemerdekaan kepada masyarakat. Lagi pula ia bertepatan dengan nama mercu tanda yang sedang dibina oleh kami iaitu Merdeka 118,” katanya.

Semasa festival, pengunjung boleh menyelami pameran interaktif Stadium Merdeka yang memaparkan klip video sejarah, lawatan maya 360 darjah serta usaha pemulihannya.
Tambahnya, menerusi pameran interaktif berkenaan, pengunjung dapat melihat lebih dekat stadium tersebut yang dijangka dibuka kembali kepada umum tidak lama lagi.
“Sebagai penjaga Stadium Merdeka, kami bertanggungjawab mengadakan pameran interaktif ini kepada generasi muda. Hal ini memandangkan stadium berkenaan masih dalam peringkat baik pulih.
“Stadium berkenaan bakal dibuka tidak lama lagi dengan rupa bentuk asal seperti tahun 1957. Misalnya, kami sedang membina pintu masuk menyerupai rekaan asal serta membangunkan scoreboard lama bagi mengembalikan nostalgia,” jelasnya.
Selain itu, Peszta merupakan platform terbaik bagi para penerima Geran Komuniti Merdeka 118 mempamerkan hasil seni, aktiviti berinspirasikan warisan dan produk buatan sendiri.
Ab. Aziz memaklumkan, geran tersebut merupakan sebahagian daripada usaha untuk memupuk idea inovatif bagi bidang sukan, seni, budaya, warisan dan perniagaan setempat.
“Salah satu projek dalam geran ini adalah Kampung Attap Collective (KAC) yang menyasar usaha memperkaya dunia seni dengan penganjuran pelbagai program kreatif.
“KAC ini merangkumi persembahan muzik di Bangunan Zhongshan, pameran sejarah dan warisan seni bina setempat di Pentago House. Satu lagi adalah rumah pangsa Sam Mansion yang menjadi pusat kesenian tempatan.
“Ketiga-tiga lokasi anjurkan aktiviti masing-masing. Misalnya, wayang kulit dilangsungkan di Sam Mansion dan Pameran Presint Merdeka 118 dalam Bangunan Zhongshan,” katanya.

Dalam pada itu, Ab. Aziz memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan program Peszta pada masa depan, meskipun selepas Merdeka 118 dibuka.
Jelasnya, langkah tersebut seiring rupa bentuk menara itu yang diilhamkan daripada sosok Tunku Abdul Rahman mengangkat tangan kanannya melaungkan kemerdekaan di Stadium Merdeka.
“Program ini untuk meraikan komuniti di sekitar Menara 118. Selepas ini, kami mungkin akan ubah lokasi penganjuran ke tempat lain sama ada Presint Jalan Petaling dan Jalan Hang Tuah, Pudu atau Kuadran Sukan 1.
“Berkemungkinan juga program Peszta akan dilangsungkan serentak dengan perasmian Merdeka 118 pada 31 Ogos sama ada tahun depan atau 2024,” katanya.
Bersama memeriah dan mengisi erti kemerdekaan negara














