PETALING JAYA – Isu kenaikan harga barang, kos sara hidup tinggi antara punca kebanyakan ibu bapa golongan M40 dan T20 beralih memilih tadika lebih murah buat anak-anak mereka.
Jika sebelum ini tadika swasta yang lebih kondusif dan selesa menjadi pilihan ibu bapa, namun sejak terkesan dengan situasi semasa serta yuran tadika juga mencecah RM1,200 sebulan, golongan itu mula membuat kira-kira bagi perbelanjaan bulanan.
Pegawai bank, Masitah Kamarul, 35, berkata, dia telah memindahkan anak ketiganya ke tadika lebih murah yang memperuntukkan yuran hanya RM550 sebulan sebagai jalan terbaik ketika ini memandangkan kos sara hidup semakin meningkat.
Katanya, sebelum ini dia dan suami tidak mempunyai masalah untuk menghantar ke tadika swasta dengan yuran bulanan mencecah RM900 sebulan memandangkan pendapatan mereka melebihi RM6,000 sebulan.
“Namun buat masa sekarang, saya ambil keputusan tukarkan anak yang berusia lima tahun ini ke tadika berhampiran rumah yang lebih murah.
“Banyak barang dah naik harga, perbelanjaan kami juga bertambah lagi-lagi kehidupan di Kuala Lumpur memang mencabar, jika kami tak berjimat dari sekarang, risau akan datang lebih parah,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Seorang bapa, Mohd. Syafiq Mohd. Yunus, 29, berkongsi jumlah yuran yang bakal dikenakan pihak tadika anaknya pada tahun hadapan mencecah RM1,200 hanya untuk bayaran pendaftaran.
“Kos tadika anak saya tahun depan untuk pendaftaran sahaja cecah RM1,200, bulan-bulan RM800, anak saya kembar, maknanya dua orang tanggungan yang perlu saya bayar, perbelanjaan keluarga lagi, isteri lagi.
“Bukan saya tak mampu, tapi bila difikirkan agak membazir dan tergugat juga untuk saya sediakan perbelanjaan yang tinggi untuk perkara itu,” katanya.
Tambahnya, meskipun pendapatan bulanannya agak tinggi, tetapi setiap bulan jumlah yang diperolehnya tidak sama kerana membuka perniagaan sendiri ada untung ruginya.
“Untuk memastikan saya dan keluarga tidak makan ‘pasir’ bagi tahun akan datang, pilihan yang bijak dalam pengurusan keluarga termasuk pengajian anak-anak perlu menjadi perkara utama untuk dinilai dengan lebih baik.
“Hanya tinggal beberapa bulan untuk dua anak saya selesai belajar pada usia 4 tahun di tadika swasta ini, dan tahun depan saya dan isteri akan tukar mereka ke tadika lebih murah untuk jimat belanja,” kongsinya. -KOSMO! ONLINE














