fbpx

Kanak-kanak Sri Lanka terpaksa ‘ikat perut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kanak-kanak beratur untuk mengambil makanan di sebuah kem mangsa bencana tsunami di Hikkaduwa pada Disember 2004. – AFP

COLOMBO – Kanak-kanak Sri Lanka berdepan risiko kekurangan nutrisi berikutan kesukaran keluarga untuk mendapatkan makanan ruji yang kini menjadi sesuatu yang tidak mampu dibeli, lapor akhbar Saudi Gazette kelmarin.

Pengarah Serantau Asia Selatan bagi Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF), George Laryea-Adjei memberi amaran tersebut ketika negara itu bergelut dengan krisis ekonomi terburuknya sejak kemerdekaan pada 1948.

“Keluarga-keluarga terpaksa mengikat perut kerana tidak mampu membeli makanan ruji. 

“Kanak-kanak tidak mempunyai pilihan lain selain masuk tidur dalam keadaan perut kosong dan tidak pasti bila mereka boleh makan semula,” kata Laryea-Adjei.

Tambah beliau, masalah keselamatan makanan ruji akan mencetuskan keadaan kekurangan nutrisi, kemiskinan, penyakit dan kematian di rantau tersebut.

Keadaan terbaharu itu akan memburukkan lagi isu-isu sosial sedia ada yang melanda Sri Lanka dengan anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa separuh kanak-kanak di negara itu kini memerlukan pelbagai bantuan kecemasan.

Dari sudut pendidikan yang menjadi salah satu sektor paling terjejas dengan krisis ekonomi, penglibatan pelajar semakin berkurang selain terdapat pengurangan dalam sumber-sumber.

“Beberapa laporan menunjukkan terdapat peningkatan dalam kes dera, eksploitasi dan keganasan terhadap kanak-kanak yang dipengaruhi oleh tekanan ekonomi,” kata Laryea-Adjei. 

Menurut UNICEF, lebih 10,000 kanak-kanak di negara itu kini berada di pusat-pusat kebajikan dengan sebahagian besarnya disebabkan oleh kemiskinan. 

Dengan krisis semasa yang dilihat masih tiada penghujung, lebih ramai keluarga dijangka menghantar anak-anak ke institusi seperti itu kerana sudah tidak mampu menjaga mereka.

“Sekiranya tiada langkah segera diambil bagi melindungi kanak-kanak ini daripada kesan-kesan buruk akibat krisis ekonomi, mereka yang terjejas akan terhumbah ke kancah kemiskinan, sekali gus menjejaskan kesihatan, nutrisi, pendidikan serta keselamatan.

“Kita tidak boleh membiarkan kanak-kanak ‘membayar harga’ bagi krisis yang bukan dicipta oleh mereka,” ujarnya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI