fbpx

Lima sekeluarga cemas terperangkap banjir luar biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba melakukan kerja menyelamat sebuah keluarga di Kampung Semanggar Dalam, Kota Tinggi, Johor yang terperangkap, semalam.

KOTA TINGGI – Sebuah keluarga di Kampung Semanggar Dalam di sini berdepan detik cemas apabila rumah mereka dimasuki air deras selepas dipercayai berlakunya fenomena ‘kepala air’ dari kawasan sungai berhampiran kediaman mereka semalam.

Mohd. Firdaus Talib, 29, berkata, air deras yang datang menyebabkan dia bersama ibu dan tiga anak saudaranya tidak berani meredah air untuk menyelamatkan diri.

Katanya, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang dimana air banjir memasuki rumah mereka terlalu cepat dalam tempoh satu jam sahaja.

“Ketika itu cuaca hujan lebat. Biasanya memang rumah kami ini dah terbiasa dengan banjir bila hujan lebat berterusan. Tetapi kali ini banjir berlaku agak luar biasa kerana sampai perlu panggil bomba.

“Air di luar begitu deras jika kami redah pasti akan hanyut. Masa itu abang ipar yang hubungi pihak bomba sementara kami menyelamatkan barang-barang dan dokumen penting.

“Memang risau sebab saya bersama mak yang sudah berusia, serta anak saudara yang masih kecil berusia sembilan hingga 13 tahun. Biasanya kami hanya berjalan kaki sahaja menyelamatkan diri tetapi kali ini memang luar biasa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Rafi Mohd. Nor berkata, seramai lapan anggota dihantar ke lokasi kejadian bagi melakukan kerja menyelamatkan mangsa yang terperangkap.

“Pasukan keluaran operasi (PKO) membuat operasi penyelamatan bagi memindahkan semua mangsa ke
tempat yang lebih selamat disebabkan kenaikkan aras air sungai berdekatan rumah mangsa mencapai lebih kurang 10 kaki dari aras normal,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI