fbpx
MAYA KARIN

Bayangan Mahsuri dalam diri Maya Karin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LAYAK digelar Primadona Filem Melayu, Maya Karin, terus gah dalam kelas tersendiri.

Tolak ke tepi kontroversi mahupun cerita picisan, ternyata tanpa semua hal enteng tersebut, kemunculannya di layar perak sentiasa dinantikan ramai.

Di sebalik nama besar dan kerelevanan selama lebih dua dekad yang belum bersisa, kesudian Maya mencemar duli, menyantuni ajakan menjadi penghias edisi Pose minggu ini ternyata sesuatu yang bermakna, tanpa sedikitpun mengurangi aura bintangnya.

Memulakan bicara mengenai hasrat menggalas watak Mahsuri, anak kelahiran Bayreuth, Bavaria, Jerman itu awalnya sekadar perbualan mengisi pertemuan bersama orang media.

Tidak kosong, tidak juga terlalu serius, namun terdetik alangkah manisnya jika terlestari.

“Tidak sangka pula perkara itu yang jadi fokus media, kemudian saya kongsikannya dalam media sosial.

“Tanpa disangka, Syamsul Yusof menunjukkan minatnya terhadap cadangan tersebut. Macam durian runtuh rasanya ketika melihat dia membalas,” kata pemilik nama penuh Maya Karin Roelcke itu.

SELAIN kisah tokoh, Maya juga mahu kisah srikandi tanah air dijulang dalam filem bagi mengangkat lagi martabat kaum wanita.

Mengapa Mahsuri? Itu antara pertanyaan yang berlegar-legar dalam kotak fikiran ramai sebelum ini.

Maya sebenarnya mahu mengangkat kisah tokoh dan srikandi legenda yang sering dilupakan masyarakat kini.

“Siapa yang tidak tahu kisah Mahsuri? Cerita tujuh keturunan dan sumpahan Langkawi, namun mengapa tiada yang berani untuk membawanya ke layar perak?

“Mengapa saya sebut nama Syamsul? Kerana dia, kami sudah ada satu persefahaman dan percaya dengan kemampuannya.

“Bagaimanapun, perkara itu tidak perlu terburu-buru untuk direalisasikan. Itu hanya satu impian yang masih belum terlaksana,” ujarnya yang turut mengimpikan memegang watak pahlawan wanita seperti dalam naskhah Xena: Warrior Princess.

Maya juga mahu penerbit dan pengarah tempatan lebih berani membuka jalan menghasilkan naskhah yang mengangkat ketokohan wanita memandangkan sudah terlalu banyak filem mempamerkan lelaki sebagai subjek utama.

“Banyak tokoh wanita yang kita tahu tetapi kisah mereka dipandang remeh. Watak sebegitu juga perlu dipandang berat dan difilemkan, jika tidak, akan dilupakan generasi muda.

“Saya sedar bukan mudah untuk hasilkan filem epik, tapi tidak salah sekiranya mencuba memandangkan industri perfileman tanah air sudah kembali rancak,” jelasnya yang anggun menyarung kebaya putih rekaan Tangsi Tujuh.

Duit bukan segala-galanya

Umum tahu, aktres yang sinonim dengan watak Meriam dalam Pontianak Harum Sundal Malam itu masih dengan prinsipnya, menolak tawaran drama.

Keputusan tersebut juga meletakkan dirinya sebagai seorang pelakon yang menjaga nilai eksklusif dan mengekalkan momentum dalam industri.

LEBIH dua dekad bergelar anak seni, Maya menasihatkan pendatang baharu agar jangan terleka dengan dunia glamor yang tidak bertahan dalam tempoh lama.

“Bukan kerana cerewet tetapi saya menitikberatkan kualiti sesebuah naskhah.

“Saya juga sudah berjanji pada diri supaya tidak bekerja kerana duit. Duit bukan segala-galanya.

“Saya tak mahu nama dan reputasi rosak hanya disebabkan sesebuah projek yang tidak berkualiti tetapi saya tetap perlu seimbangkan antara kekalkan reputasi dan menjaga keunggulan supaya tidak kelaparan pula nanti,” ujarnya.

Sementara menanti sambungan Telaga Suriram karya Osman Ali, Maya kini memenuhkan jadual terkininya dengan promosi filem terbaharu, Abang Long Fadil 3.

Katanya lagi, dia juga tidak mahu dilabel sebagai selebriti yang laparkan populariti.

“Kita perlu percayakan kemampuan diri. Saya nampak ada selebriti lain tergesa-gesa nak berada di puncak kerana takut kehilangan populariti yang diraih.

“Hakikatnya kita tak akan sentiasa berada di atas sahaja.

“Tak mengapa jika dua tahun sunyi tanpa produk baharu, pasti akan ada rezeki yang hadir kemudian hari.

“Sebenarnya untuk kekal di puncak, dedikasi dan profesionalisme perlu sebati dalam diri seorang pelakon,” tuturnya lagi.

Sebagai aktres senior, Maya mengakui sinema tanah air sememangnya kekurangan pelakon hebat selain lambakan pendatang baharu dari dunia media sosial.

“Tidak boleh salahkan generasi muda 100 peratus tetapi antara sebab perkara sebegini terjadi ialah kemunculan media sosial seperti Instagram dan TikTok.

“Tanpa sedar, semua itu mengundang sikap terlalu ambil mudah iaitu cepat ingin popular dan raih jutaan pengikut tetapi sebenarnya tiada asas yang kuat untuk jadi pelakon berkualiti,” katanya lagi.

Banyak ‘like’, tapi kosong

Pemilik trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-25 itu turut bersuara mengenai sasaran dan niat utama pelakon baharu zaman kini.

Ramai yang sekadar bangga dengan jumlah pengikut dan ‘like’ tapi kosong pencapaian sebagai anak seni.

“Kemudian hanya dengan jumlah tanda suka yang banyak, itu sudah membanggakan mereka. Sebenarnya apa pencapaian mereka sebagai anak seni?

“Setakat menggayakan fesyen dan bersolek kemudian kongsi kepada umum, itu bukan pencapaian.

SEDAR tidak ada kisah sensasi dan tidak popular dalam laman sosial, Maya bagaimanapun selesa dengan kehidupan sebegitu.

“Memang itu menyeronokkan tetapi tidak membawa sebarang makna pada masa depan.

“Saya tidak salahkan generasi baharu kerana itu cara mereka sekarang tetapi semua itu berlaku dalam keadaan terburu-buru jika mereka tak pandai bawa diri. Mereka akan jadi mi segera dalam industri,” tegasnya.

Aktres bermata bundar itu menasihatkan pelakon baharu agar tidak mudah hanyut dengan populariti segera yang diraih mereka.

“Jangan terlalu terpengaruh dengan glamor, pujian dan kecantikan sahaja. Pelakon pun kadang-kadang perlu jadi hodoh kerana kita bukan model.

“Mereka perlu membezakan realiti sebagai pelakon dan kehidupan dalam media sosial.

“Saya sangat mahu melihat pelakon yang jiwa seni hadir dalam industri, jangan jiwa selfish. Niat juga sangat penting, sama ada mahu jadi pelakon hebat atau hanya ingin popular dan berseronok,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN