fbpx

Remaja maut dipukul dengan topi keledar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

GUA MUSANG – Gara-gara mengambil upah sebanyak RM50 hasil membina rumah daripada pelanggan tanpa pengetahuan majikan, seorang remaja maut selepas dipukul pada kepalanya di sebuah rumah di Kampung Mentara Lama di sini pada Isnin lalu.

Mangsa yang berusia 16 tahun meninggal dunia di Hospital Kuala Lipis, Pahang kira-kira pukul 6.30 pagi semalam selepas hampir 54 jam bertarung nyawa semasa dirawat di hospital berkenaan.

Difahamkan, mangsa dipercayai mengambil upah RM250 daripada pelanggan, namun memaklumkan menerima bayaran pelanggan sebanyak RM200 kepada majikannya.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan awal mendapati, majikan mangsa yang berusia 40 tahun datang ke rumah remaja itu kira-kira pukul 12.30 tengah malam Isnin lalu sebelum tercetus pergaduhan antara mereka.

Menurutnya, remaja itu dipercayai dipukul oleh suspek dengan topi keledar sehingga abang dan rakannya membawa mangsa untuk menerima rawatan di Klinik Kesihatan Merapoh sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lipis.

“Siasatan awal mendapati, mangsa bekerja dengan suspek sebagai buruh binaan rumah di Mentara Lama di sini. Pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa yang mengambil duit upah membuat rumah dari pelanggan tanpa pengetahuan suspek.

“Berang dengan tindakan itu, suspek telah memukul kepala mangsa dengan menggunakan topi keledar sehingga remaja itu mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Muhamad Zaki, polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 12.51 tengah hari pada Isnin lalu.

Katanya, suspek telah ditangkap dan direman sehingga Selasa depan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI