fbpx

Kakitangan JKM maut kenderaan rempuh benteng terbabas ke laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERETA dinaiki lima sekawan berkenaan remuk dan terbabas ke dalam laut dalam kejadian yang berlaku di Jalan Persisiran Pantai Kuala Perlis-Kuala Sanglang, Simpang Empat, Perlis, di sini, malam tadi.

KANGAR – Seorang kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) maut selepas kenderaan dinaiki bersama empat yang lain hilang kawalan dan merempuh benteng pemecah ombak sebelum terbabas ke dalam laut di Jalan Persisiran Pantai Kuala Perlis – Kuala Sanglang, Simpang Empat, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11 malam dan siasatan awal mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira yang datang dari arah Kuala Sanglang menuju ke Sungai Baru.

Yusharifuddin berkata, mangsa berkenaan yang berada di bahagian penumpang hadapan telah tercampak keluar dari kereta semasa rempuhan itu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan bertugas. 

“Mangsa dikenali sebagai Ahmad Baihaqi Mahamad Shafie merupakan seorang pegawai JKM dari Jitra, Kedah dan dia disahkan maut di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari kereta ekoran rempuhan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Yusharifuddin berkata, lokasi kejadian itu merupakan jalan satu lorong dan keadaan cuaca adalah hujan sewaktu kemalangan berkenaan berlaku dengan permukaan laluan yang basah.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian juga mendapati tiada kesan brek di jalan berkenaan dan kemalangan itu tidak melibatkan kenderaan lain.

“Kereta itu juga remuk teruk di semua bahagian ekoran daripada rempuhan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Yusharifuddin berkata, pemandu dan tiga lagi penumpang lain yang merupakan rakan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tuanku Fauziah (HTF)

Tambahnya, mayat mangsa juga turut dibawa ke HTF untuk menjalani bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI