fbpx

Remaja beri alasan culik bayi sebab comel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cheng San (dua dari kiri) menunjukkan gambar suspek utama kejadian penculikan seorang bayi berusia sembilan bulan ketika sidang akhbar di IPD SPT, Bukit Mertajam di sini hari ini.

SEBERANG PERAI – Polis mengesahkan penahanan lima suspek termasuk seorang remaja yang bertindak melarikan seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan dalam serbuan berasingan di negeri ini dan Kulim, Kedah malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, tiga daripada mereka termasuk suspek utama iaitu seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditahan dalam serbuan pertama di sebuah pondok di Machang Bubok di sini kira-kira pukul 11.50 malam, hari yang sama.

Menurutnya, dua lagi suspek iaitu ibu dan bapa tiri kepada teman lelaki remaja perempuan terbabit pula ditahan di sebuah rumah di Kulim, Kedah bersama bayi malang berkenaan beberapa jam kemudian.

“Siasatan awal polis mendapati, suspek dikatakan menculik bayi perempuan itu kerana tertarik dengan kecomelan bayi tersebut.

“Suspek (remaja perempuan) itu juga memberi alasan bahawa bayi tersebut adalah anaknya dengan teman lelaki sebelum ini,” katanya pada satu sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di sini hari ini.

Dalam kejadian itu kira-kira pukul 5.30 petang Selasa lalu, remaja perempuan terbabit yang tidak bersekolah sejak darjah enam dikatakan telah melarikan bayi berkenaan daripada jagaan neneknya yang juga pengasuh kepada bayi tersebut di sebuah pangsapuri di Bukit Tengah.

Ketika kejadian, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi menunjukkan bahawa suspek terbabit mendukung mangsa dengan berjalan kaki sebelum menunggang sebuah motosikal tanpa memakai topi keledar.

Pengasuh itu juga telah memaklumkan kepada pengadu iaitu ibu mangsa yang berusia 24 tahun sebelum satu laporan polis dibuat oleh suaminya atau bapa kepada bayi berkenaan berhubung kejadian tersebut.

Selain teman lelakinya yang berusia 18 tahun serta ibu bapa kepada lelaki tersebut yang masing-masing berusia 43 dan 30 tahun, suspek dikatakan turut mendapat bantuan daripada rakan kepada teman lelakinya yang tidak bekerja itu untuk melarikan bayi berkenaan.

Cheng San memberitahu, kesemua suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu menculik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI