fbpx

Buatlah ‘check up’, ajal tak kenal usia – Uyaina Arshad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Uyaina meanasihatkan agar orang ramai sentiasa menjaga kesihatan dan membuat pemeriksaan secara berkala.

PETALING JAYA – Dalam masih bersedih atas pemergian abang tersayang seminggu lalu, pengacara dan pelakon Uyaina Arshad menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan soal kesihatan selain melakukan pemeriksaan secara berkala.

Menerusi perkongsian dalam Instgaram, Uyaina berpendapat, sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif bersukan bukan satu jaminan seseorang bebas daripada sebarang penyakit.

Mengambil contoh abang kandungnya sendiri iaitu Mohd. Attaful Uzair Arshad yang meninggal dunia pada 18 Ogos lalu akibat jantung tersumbat, Uyaina berkata, arwah seorang yang sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat, selain aktif bersukan.

“Arwah abang langsung tidak menunjukkan simptom, cuma pernah mengadu kepada kakak ipar yang dia kerap sakit dada.

“Ini saya boleh katakan simptom awal untuk orang yang ada masalah jantung,” tulisnya.

Tambah Uyaina yang kini menunggu hari untuk bersalin, penyakit itu boleh berpunca daripada keturunan atau genetik kerana dia sendiri pernah didiagnos dengan masalah komplikasi jantung sekitar empat tahun lalu.

“Pertama masalah Supraventricular Tachycardia (SVT)  iaitu degupan jantung saya laju dan komplikasi Quadricuspid Aortic Valve (QAV) di mana orang normal mempunyai tiga, manakala saya empat.

“Saya tiada masalah lain, begitu juga arwah abang. Keturunan atau genetik juga antara  faktor yang meninggikan lagi risiko penyakit jantung.

“Sila ambil perhatian di situ, terutama jika ibu bapa atau adik-beradik yang pernah terkena serangan jantung pada usia muda,” katanya.

Uyaina atau nama sebenarnya Saidatul Naseha Uyaina, 30, turut mengingatkan orang ramai supaya melakukan pemeriksaan tahap kesihatan kerana penyakit dan maut tidak mengenal usia.

“Saya didiagnos ketika umur 27 tahun, manakala abang sulung meninggal dunia pada usia 35 tahun. Kita semua kena beringat penyakit atau ajal tidak kenal usia.

“Kita mungkin amalkan gaya hidup sihat, aktif, rajin bersenam dan menjaga makan. Tetapi, tolong pergi buat pemeriksaan kesihatan. Pergi jumpa doktor untuk periksa darah dan keadaan tubuh badan,” rayunya lagi.

Terdahulu, Mohd. Attaful yang bertugas sebagai pegawai perubatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di ibu kota dipercayai mengalami serangan jantung ketika sedang berbasikal. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI