fbpx

PM ketuai 883 penerima Darjah Kebesaran Melaka, Amy Search bergelar Datuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abang Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar, 30, pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran negeri Melaka sempena sambutan Hari Jadi ke-73 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka di Dataran Seri Negeri, Ayer Keroh , Melaka. Gambar RASUL AZLI SAMAD

MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengetuai senarai 883 penerima darjah kebesaran Negeri apabila dianugerahkan Darjah Utama Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Anugerah itu diberikan Sempena Hari Ulang Tahun ke-73 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Sementara itu, Darjah Gemilang Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk Seri dianugerahkan kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto.

Prabowo telah dikurniakan anugerah tersebut pada 26 Julai lalu di Dewan Utama, Pejabat TYT Melaka.

Darjah Cemerlang Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk Wira diberikan kepada 26 penerima antaranya Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Zaidi Johari; Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass; Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Baharin Din dan Ketua Umum Dewan Masjid Indonesia, Dr. Syafruddin Kambo.

Dalam pada itu, vokalis kumpulan Search, Suhaimi A. Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy Search menjadi antara 163 penerima Darjah Pangkuan Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk.

Penerima tunggal Bintang Gagah Perkasa dianugerahkan kepada Pegawai Bomba Kanan II, Allahyarham Mohd. Diya Che Jusoh yang terkorban semasa operasi menyelamat mangsa banjir di Kampung Sungai Putat pada 20 Oktober tahun lepas.

Abang Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) di atas jasa beliau membantu mangsa banjir.

Darjah Kebesaran Melaka diberikan kepada kakitangan awam negeri dan Persekutuan, ahli politik, tokoh korporat, anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pengamal media massa dan ahli-ahli badan sukarelawan.

Istiadat pengurniaan Darjah Kebesaran dijalankan tiga sesi iaitu pada 24 Ogos dan 27 Ogos. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI