SEPERTI dipukau mantera. Begitulah yang dapat menggambarkan perasaan sepanjang duduk di kerusi penonton pada konsert Kunto Aji yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur pada 19 Ogos lalu.
Jika inginkan sesuatu yang mendamaikan jiwa, muzik daripada Kunto mungkin jawapannya.
Mutu vokalnya tidak perlu lagi dipertikaikan. Cukup membuai rasa dan lagu-lagunya nukilannya sendiri mampu merentap emosi pendengar.

Menangis
Dibahagikan kepada dua babak, keterujaan bermula saat visual montaj Mantra Mantra bercorakkan Jalur Gemilang muncul sebelum disahut dengan gema sorakan menyambut kemunculan Kunto.
Membuka gelanggang DFP tepat pukul 8.30 malam dengan lagu Sulung dalam babak pertama. Katanya, Sulung didefinisikan seperti zikir kerana liriknya yang berulang-ulang.
Pada ketika emosi mula terbuai, Kunto kemudian memukau para hadirin berdiri bersama menyanyikan lagu Jakarta Jakarta yang berentak pop diikuti Konon Katanya dan Akhir Bulan.
Terharu dengan nyanyian yang disambut para penonton, dia mengakui sebak dengan semangat dan energi yang diraihnya pada malam tersebut.
“Apa lagi mahu dibicarakan. Saya hampir menangis melihat sokongan daripada anda semua.
“Terima kasih Malaysia, semoga tidak ambil masa lama untuk saya kembali ke sini,” itu frasa yang diungkapnya sebelum menyanyikan lagu Topik Semalam dan Salam Pada Rindu.
Sebelum mengakhiri babak pertama yang namakan Urip, dia yang hanya mengenakan busana berona krim itu sekali lagi mencuri perhatian umum dengan lagu Amatiran.
Ternyata penutup babak pertama berjaya dilunaskan dengan cemerlang menerusi lagu Ekspestasi daripada album Generation Y.

Tercandu
Tidak mencuri masa lama, segmen kedua, Urup dimulai dengan tiga buah lagu, Rancang Rencana, Pengingat dan Saudade.
Dia sekali lagi membuatkan DFP bergema apabila menyampaikan single sulungnya, Terlalu Lama Sendiri yang dihasilkan sekitar 2014.
Usai membuatkan ramai individu ‘jomblo’ menginginkan teman hidup, dia muncul dengan vokal mantap menerusi lagu popularnya, Pilu Membiru yang merentap emosi penonton.
Tercandu tanpa sedar, satu jam setengah sudah berlalu dan Kunto memilih Rehat sebagai penutup konsertnya di Kuala Lumpur.
Pemilihan Rehat sebagai lagu terakhir boleh dikatakan cemerlang kerana berjaya memberi rasa damai dalam jiwa penonton yang hadir meskipun hakikatnya dihambat rasa duka kerana kegembiraan konsert bakal berakhir.
Visual pencahayaan juga harus diberikan pujian dan markah penuh kerana berjaya memainkan peranan besar dalam menyampaikan emosi setiap lagu kepada penonton.
Cukup rasa, padat emosi. Demikian yang dapat disimpul selepas menonton persembahan penyanyi berusia 35 tahun itu selain vokal hebat yang tidak perlu disangkal lagi.

Monolog diri
Sempat bersoal jawab selama beberapa minit bersama media tempatan, Kunto sendiri mengakui lagu-lagunya yang dianggap mantera itu boleh dikatakan seperti terapi jiwa.
Ujar pemilik nama penuh Kunto Aji Wibisono itu, kesemua lagu dalam album Mantra Mantra merupakan monolog ketika pernah berada di titik terbawah hidupnya iaitu sepanjang tempoh menjalani terapi mental.
“Album Mantra Mantra dihasilkan ketika saya masih menjalani rawatan. Hasilnya, album tersebut seperti saya berbicara dengan diri sendiri.

“Tenyata pada akhirnya orang lain juga boleh merasakan hal yang sama seperti saya,” kongsi kepada media usai konsert.
Penyanyi berusia 35 tahun itu pernah berasa tertekan dan risau untuk melancarkan lagu baharu kerana bimbang tidak mampu menandingi kehebatan single pertamanya, Terlalu Lama Sendiri.
“Beban tersebut sudah saya lalui apabila ingin menghasilkan karya selepas Terlalu Lama Sendiri meledak dan sempat merasai fasa bingung.
“Namun, saya fikir lebih baik menghasilkan sesuatu yang jujur berbanding mengejar untuk laris.
“Satu hal saya pegang sehingga hari ini, semakin jujur pada diri sendiri, karya yang dihasilkan akan semakin hebat,” ungkapnya.
















