fbpx

New York lapor kes cacar monyet kanak-kanak pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
New York catat kes pertama libatkan kanak-kanak bawah 18 tahun. - Shutterstock

BANDAR RAYA NEW YORK – Jabatan Kesihatan Negeri New York melaporkan kes pertama cacar monyet dalam kala­ngan kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun, lapor laman RT kelmarin.

Bagi melindungi privasi keluarga pesakit, hanya sedikit butiran didedahkan dalam laporan mengenainya yang di­siarkan Jumaat lalu. Laporan itu turut meliputi situasi jangkitan cacar monyet di Amerika Syarikat (AS)  pada minggu berakhir Rabu lepas.

Menurutnya, kanak-kanak itu tinggal di luar Bandar Raya New York yang menjadi lubuk jangkitan cacar monyet di AS.

Sembilan kes lain melibatkan kanak-kanak turut dilaporkan di seluruh AS.

Wabak cacar monyet sebahagian besarnya menjangkiti lelaki gay dan lelaki  berbilang pasangan seks.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) melapor­kan pada minggu lalu bahawa 99 peratus pesakit cacar monyet adalah lelaki dengan 94 peratus daripada mereka me­lakukan seks sejenis.

Daripada 2,744 penduduk negeri New York yang telah dijangkiti, kira-kira 16 orang adalah  wanita dan 48 lagi wanita transgender.

Bandar Raya New York menjadi pusat penularan cacar monyet di AS sejak Julai lalu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),  Tedros Adhanom Ghebreyesus mengisytiharkan cacar monyet sebagai Darurat Kecemasan Kesihatan Awam Antarabangsa pada bulan lalu.

Tiada kematian yang dikaitkan dengan wabak cacar monyet di AS setakat ini. Penyakit bawaan virus itu menyebabkan lepuh yang menyakitkan tetapi tidak membawa maut secara umumnya. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI