Tanggal 21 Ogos tahun lalu menjadi detik bersejarah apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia kesembilan.
Ahli Parlimen Bera itu mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara, Kuala Lumpur di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hari ini, genaplah setahun Perdana Menteri menerajui Malaysia. Biarpun berdepan pelbagai cabaran ekonomi, politik dan pandemik, Perdana Menteri dalam tempoh setahun ini telah banyak melakukan usaha dan pendekatan untuk memajukan negara serta menyatukan bangsa Malaysia.
Gagasan Keluarga Malaysia antara aspirasi cetusannya yang cukup sinonim dengan beliau dalam tempoh setahun tampuk kepimpinannya.
Wartawan media cetak dan online berpeluang menemu bual Ismail Sabri di Seri Perdana, Putrajaya baru-baru ini untuk beliau berkongsi perasaan dan cabaran yang dilaluinya sepanjang setahun mengemudi negara tercinta.
SOALAN: Selepas setahun Datuk Seri menerajui kerajaan, apakah cabaran paling getir dihadapi dan dirasai sebagai Perdana Menteri?
ISMAIL SABRI: Yang pertamanya, dari segi menstabilkan politik. Sebab ia ada kaitan dengan kestabilan ekonomi.
Politik tidak stabil membawa ketidakstabilan ekonomi dan rakyat yang akan terkesan.
Jadi, apabila saya mengambil alih kerajaan, ketika itu keadaan tidak stabil dari segi politik sebab sebelum saya, sudah ada dua Perdana Menteri.
Tak pernah berlaku dalam sejarah negara dalam satu penggal, ada tiga Perdana Menteri. Yang di-Pertuan Agong kata cukuplah, datang angkat sumpah dengan saya, sebelum akhir penggal ini. Dah tiga kali angkat sumpah Perdana Menteri.
Ketika saya berjumpa dengan Pak Jokowi (Presiden Indonesia), mereka pun keliru. Sambutan Perdana Menteri Malaysia, dahulu orang lain, tak lama orang lain lagi datang.
Ini, orang lain lagi datang. Jokowi pun kata cukuplah, tak mahu lagi ada yang keempat pula datang.
Nampak jelas dari segi ketidakstabilan politik, dan caranya adalah apabila Majlis Raja-Raja bersidang, bermesyuarat, membuat keputusan supaya titah dikeluarkan, Agong nakkan kerajaan yang stabil.
Saya masuk ke pejabat hari kedua (Selasa), tiga pemimpin pembangkang datang ke pejabat untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang akan ditandatangani kemudian.
Seolah-olah satu ceasefire berlaku, maka keadaan politik dapat distabilkan, tetapi bukan mudah sebab kena menjawab pada parti.
Kita di Malaysia telah diajar, pembangkang adalah pembangkang, kerajaan adalah kerajaan, jadi kita takkan bersama.
Parti pemerintah takkan bersama pembangkang.
Perlu beri penjelasan pada parti untuk memberi sebab kenapa kita menandatangai MoU.
Jadi cabarannya adalah ketika itu untuk menstabilkan politik walaupun tandatangan, individu-individu dalam parti bukan mudah terimanya.
Jadi penerimaan orang-orang parti kita di peringkat awal tu agak sukar.
Tiba-tiba kita berkawan, buat MoU dengan pembangkang.
Seterusnya adalah dari segi pemulihan ekonomi disebabkan kita dah tutup semua sektor ekonomi selama dua tahun.
Bila kita buka semula, itu bukan perkara mudah.
Terutamanya melibatkan peniaga-peniaga kecil dan sebagainya. Bila dah pelbagai insentif kita beri untuk bantu mereka, tiba-tiba berlaku pula perang Rusia-Ukraine yang beri kesan pada segala agenda dari segi pemulihan ekonomi dan sebagainya.
Jadi agak sukarlah pada peringkat awal.
Tapi alhamdulillah, kalau kita tengok pengumunan Bank Negara, dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) , kita terbaik di Asia Tenggara. Berbanding kuasa-kuasa besar lain seperti China, Jepun, Amerika, Kesatuan Eropah, kita jauh lebih tinggi dari segi KDNK.

Apa lagi yang berjaya dilakukan dalam tempoh singkat ini?
Dari segi pengangguran, ini merupakan satu perkara yang amat besar, tanggunggannya untuk kita pulihkan balik.
Alhamdulilah, kita dah kembali pada zaman sebelum pandemik, iaitu 3.8 peratus.
Kalau 3.8 peratus, bermakna di bawah empat peratus dan ini dianggap sebagai guna tenaga penuh. Atas kertas kurang daripada empat peratus satu pencapaian baik.
Begitu juga perdagangan, pelaburan langsung asing (FDI) dan sebagainya, semakin masuk ke negara kita. Ia sudah melepasi RM2 trilion.
Tertinggi setakat ini. Jadi walaupun keadaan ekonomi dunia belum pulih,
sepenuhnya, tetapi boleh nampak perkembangannya.
Kalau kita lihat yang isu-isu dapat kita dapat selesaikan dengan baik, tentulah kesan pada keseluruhan pentadbiran.
Bagi contoh, isu ayam. Dahulu kecoh harga ayam dan sampai RM13. Sekarang harga ayam turun. Minyak masak harga turun, besi semakin turun.
Jadi kejayaan-kejayaan saya sebut tadi dari segi ekonomi dan sebagainya.
Selain Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia untuk mengukur keberkesanan Keluarga Malaysia, apa lagi penanda aras menunjukkan gagasan ini diterima rakyat?
Paling penting saya lihat dari segi keharmonian kaum dan agama.
Nak cakap lebih baik itu tidak lah.
Seperti satu ketika dahulu, isu perkauman, agama boleh dikatakan hari-hari keluar di media sosial dan sebagainya.
Kini, nampak ia semakin berkurangan. Jadi, saya anggap itu sebahagian daripada kejayaannya.
Ini kerana, bagi kita, Keluarga Malaysia bermakna setiap kaum dan individu dikenali satu keluarga.
Apabila kita menerima konsep ini, keharmonian dapat dicapai lebih cepat.
Kita lihat isu panas melibatkan kaum, agama dan sebagainya sudah berkurangan.
Setahun lalu, apakah keputusan yang sukar untuk ditangani secara peribadi?
Waktu saya, sukar menjaga Covid. Itu sebenarnya paling sukar dan mencabar. Antara dua kepentingan yang saya kena jaga, yang perlu saya pilih nyawa atau pun livelihood.
Saya buat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), tak boleh keluar rumah. Saya daripada keluarga miskin yang tahu tentang kesusahan.
Bayangkan betapa susahnya orang hidup, kais pagi makan pagi, yang berniaga pagi untuk bagi anak-anak makan malam.
Terpaksa tutup kerana nak menjaga nyawa. So that’s why total lockdown yang kita putuskan itu, satu perkara yang sangat sukar.
Tetapi waktu itu, tiada ada negara yang boleh dijadikan model. Kerana semua negara mengalami pengalaman pertama Covid.
Bayangkan mak cik penjual goreng pisang.
Itulah pendapatan dia untuk hidup, jaga untuk seluruh keluarga. Kerajaan terpaksa buat total lockdown, dia tak boleh berniaga.
Memang waktu itu saya rasakan keputusan itu amat sukar sekali.
Saya takut waktu itu, orang kena buang kerja.
Kilang tutup, berapa ramai pekerja kena buang dan bagaimana susah mereka untuk meneruskan hidup. Sebab itu, waktu itu kita perkenalkan bantuan prihatin untuk mereka seperti bakul makanan, insentif jaminan, subsidi upah dan sebagainya.
Apakah inisiatif diambil kerajaan bagi memastikan rakyat tidak terjejas akibat kemerosotan ekonomi global?
Nanti kita akan tunjukkan sewaktu Bajet bulan Oktober ini.
Bajet kita merangkumi semua taraf kehidupan, semua rakyat, kategori, segmen dan langkah untuk menghadapi cabaran ekonomi tahun 2023. Kita akan berikan penjelasan teliti sewaktu bajet nanti.
Kita tengah buat engagement bajet. Bajet kali ini kita akan berjumpa dengan semua, termasuk pembangkang, persatuan, komuniti perniagaan, peladang, penternak, semua sekali.
Bagi mengelakkan menjadi Perdana Menteri paling pendek berkhidmat, ramai mengatakan kewajaran Datuk Seri untuk bubarkan Parlimen tahun depan?
Maknanya, kalau sampai bulan Julai itu, bagi saya pendek atau panjang tidak penting.
Panjang kalau 20 tahun pun kalau tiada manfaat kepada rakyat dan kerajaan pun tiada makna juga.
Pendek, tetapi penuh dengan kejayaan lebih baik daripada lama tetapi tiada kejayaan apa-apa.
Tertekan macam mana pun, kuasa untuk berjumpa, menyembahkankanya kepada Agong kuasa saya.

BAGI Ismail Sabri, paling sukar baginya menguruskan Covid-19 kerana melibatkan penutupan pelbagai sektor sewaktu pelaksanaan PKP.
Penggal Datuk Seri ada kurang dari setahun, apakah perlu diberi tempoh untuk teruskan lagi atau mendapat mandat baharu lebih awal?
Ini satu soalan yang susah nak jawab (ketawa). Kalau saya kata lama lagi, marah parti saya. Parti saya nak cepat.
Seperti saya cakap tadi, banyak pertimbangan yang perlu dilakukan sebelum buat keputusan.
Ya, rakyat perlu diberi ruang untuk memilih kerajaan baharu.
Sebab dah berubah tiga kerajaan, ada yang mengiktiraf ada yang tak mengiktiraf, lebih baik pulangkan mandat ini pada rakyat semula.
Isu pun banyak yang perlu diselesaikan. Isu yang saya sebutkan tadi dari segi ekonomi, pendapatan, pekerjaan.
Walaupun antara Januari sampai sekarang, kita dah sediakan 400,000 pekerjaan kepada rakyat, tetapi seperti saya kata dari segi upah, RM1,500 itu sesuai ke tak sesuai.
Mungkin perlu ditingkatkan lagi sebab setengah mengatakan tak mencukupi.
Jadi banyak perkara, isu belum diselesaikan.














