PETALING JAYA – Yuran pengajian di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) terlalu mahal sehingga mencecah hampir RM45,000 menjadi antara faktor ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih untuk tidak menyambung pengajian mereka.
Dakwa mereka bayaran hampir RM50,000 untuk tempoh tiga tahun pengajian tidak selari dengan pinjaman yang diperolehi sekitar RM30,000.
Selain itu, ada antara lepasan SPM yang mengakui seronok bekerja setelah mengambil keputusan membantu keluarga mengharungi kehidupan selepas terkesan akibat Covid-19.
Seorang pemuda dikenali Wak Nasrun memberitahu, pengajian peringkat diploma di kolej swasta memperuntukan sekitar RM45,000 bagi tempoh tiga tahun dan kebanyakan pelajar tidak dapat membuat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sepenuhnya.
“Jika yuran cecah RM45,000 untuk tiga tahun belajar diploma, PTPTN bagi pinjam RM30,000 dan selebihnya kena guna duit sendiri, berapa ramai yang mampu?
“Gaji untuk graduan pula sekitar RM1,800 sebulan, bayar itu bayar ini langsung tidak ada baki simpanan, rasanya berbaloi atau tidak?” soalnya.

Pandangan sama disuarakan Muhammad Musoddiq Jaafar yang memberitahu, sesetengah kolej swasta mengenakan yuran pengajian yang tidak masuk akal sehingga lebih 80 peratus wang pinjaman PTPTN pelajar dipotong setiap semester.
“Kolej swasta banyak nak buat duit daripada jaga kebajikan pelajar. Masih ingat lagi satu kolej kejururawatan yang ambil hampir semua duit PTPTN pelajar dan cuma tinggal lebih kurang RM500 sebagai belanja.
“Apabila pelajar adakan himpunan tunjuk perasaan, pihak kolej ugut untuk gugurkan mereka atau ambil tindakan disiplin,” dakwanya.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Amir Sulaiman merasakan menyambung pengajian di kolej swasta adalah perkara membuang masa disebabkan ramai graduan IPTS dibayar gaji setaraf pelajar SPM.
“Mahu belajar macam mana? Yuran mahal, keluar kolej susah dapat kerja dan kalau ada pun dibayar gaji SPM, lagi nak bayar hutang belajar. Masalahnya bila pendidikan diniagakan, nak kolej untung sahaja, kualiti untuk pelajar tidak ada,” luahnya.
“Saya graduan IPTS, nasihat untuk adik-adik yang nak sambung belajar, pilih universiti awam atau institusi kemahiran di bawah kerajaan atau kendalian Majlis Amanah Rakyat (Mara), susah nak kerja sampai terpaksa menganggur lebih setahun,” pesan Annisa.

Dalam pada itu, beberapa pengguna lain turut mendedahkan kebanyakan IPTS akan menawarkan jaminan pekerjaan serta elaun bulanan sebagai salah satu kelebihan belajar di kolej mereka.
“Mempunyai 1,001 syarikat berdaftar, pensijilan antarabangsa, elaun pengajian tinggi setiap bulan, semua itu hanya nak ‘pancing’ pelajar, lagi-lagi lepasan SPM,” ujar Mohd. Hasbibullah.
Berita berkaitan: Kolej swasta ‘resah’ hilang pelajar
Sementara itu, di Ipoh, seorang pelajar lepasan SPM 2021 yang mendapat keputusan cemerlang 5A4B dikenali Shahrul mengakui tidak menyambung pelajaran kerana mahu membantu keluarga.
Katanya, dia yang bermula dengan menjual burger sejak berusia 16 tahun mengakui tidak menyambung pengajian ke peringkat diploma atau asasi kerana sudah seronok mencari wang.
“Saya tidak sangka akan dapat keputusan seperti itu (5A4B) kerana selepas balik sekolah, saya akan bekerja di gerai burger berhampiran rumah,” katanya.
Shahrul berkata, rasa seronok mula timbul apabila dia dapat membantu ibunya yang kehilangan pekerjaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan mula dilaksanakan.

“Saya rasa seronok apabila dapat membantu ibu dan adik-adik. Sekarang, saya bekerja di sebuah kilang dan buat masa ini, gaji adalah mencukupi untuk menampung keperluan kami sekeluarga,” katanya.
Katanya, kini dia lebih fokus untuk mencari duit demi keluarga berbanding menyambung pelajaran yang memerlukan kos yang tinggi.
“Bukan tiada niat nak sambung belajar, mungkin suatu hari nanti akan melakukannya. Pelajaran itu penting tetapi saya kena kumpul duit dahulu kerana tak nak bebankan ibu,” katanya bercita-cita mahu menjadi arkitek.
Kosmo! semalam melaporkan beberapa kolej swasta di negara ini mendedahkan kemasukan pelajar lepasan SPM terlalu perlahan hingga memaksa mereka menawarkan sesi kemasukan kedua dalam tempoh singkat dan memberi diskaun yuran.














