fbpx

Tiada lagi layanan kelas kedua ‘kaki RXZ’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Himpunan besar-besaran motosikal RXZ 4.0 di Terengganu baru-baru ini.
MOHD. AZLI ADLAN,
WARTAWAN EKSEKUTIF

HUJUNG minggu lalu, bandar raya Kuala Terengganu dan daerah bersebelahan, Kuala Nerus meriah dengan kehadiran lebih 40,000 peminat motosikal dari seluruh negara.

Mereka menyertai program RXZ 4.0 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Litar Permotoran Gong Badak.

Ia merupakan perhimpunan peminat motosikal Yamaha RXZ terbesar di Terengganu sejak fasa peralihan ke endemik pada 1 April lalu.

Di sebalik beberapa hal kecil kurang enak seperti lambakan sampah-sarap yang ditinggalkan, kecurian dua motosikal dan satu kemalangan maut melibatkan seorang peserta, program tersebut dilihat telah mencapai matlamatnya.

Program RXZ Members 4.0 tersebut telah membuka mata kerajaan untuk mendengar keluhan golongan peminat motosikal yang telah diluahkan sekian lama.

Kejayaan terbesar apabila kerajaan bersetuju untuk membina litar lumba drag di setiap negeri seluruh negara.

Cadangan pembinaan litar lumba yang boleh menjadi solusi gejala perlumbaan haram di negara ini itu dijanjikan akan dimasukkan dalam pembentangan Bajet 2023 pada Oktober ini.

Ismail Sabri juga secara jelas berharap pesepsi umum masyarakat yang melabelkan peminat motosikal secara keseluruhan dengan pelbagai gelaran negatif seperti mat rempit supaya diperbetulkan.

Ujar beliau, kelab berasaskan permotoran juga telah banyak menggerakkan pelbagai aktiviti sihat dan amalan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Seorang pengasas kelab RX-Z Terengganu, Mohamad Faiza Ali berkata, dua perkara tersebut merupakan mesej penting yang berjaya disampaikan sepanjang penganjuran program tersebut.

“Saya tidak menyangka idea program ini yang dicambah menerusi ‘sesi mengopi’ (minum kopi) bersama lima sahabat baik pada tahun 2017 boleh memberi impak yang luar biasa.

“Sewaktu program sulung yang diadakan pada tahun itu, seramai 10,000 pemilik motosikal Yahama RXZ menyertainya dan kini ia te­lah berkembang pesat kepada lebih 40,000 peserta berdaftar pada penganjuran kali keempat,” katanya kepada Kos­mo! baru-baru ini.

Mohamad Faiza memberitahu, sokongan terhadap program RXZ Members semakin padu dengan banyak permintaan diterima untuk meneruskannya pada tahun-tahun akan datang.

Jelas lelaki itu, kebanyakan peserta mahukan negeri Terengganu dikekalkan bagi membo­lehkan mereka menyelam sambil minum air dengan melawat destinasi menarik di negeri Pantai Timur tersebut.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengakui negeri tersebut menerima lebih banyak impak positif daripada perhimpunan motosikal berskala besar berkenaan.

Beliau berkata, walaupun ia berlangsung selama dua hari, program tersebut telah menjana jutaan ringgit untuk ekonomi Terengganu.

“Saya mendapat laporan bahawa bilik penginapan hotel dan inap desa di sekitar Kuala Terengganu penuh berikutan program RXZ Members 4.0.

“Begitu juga dengan restoran dan kedai makan yang mendapat limpahan pelanggan. Peserta juga banyak berbelanja untuk membawa pulang cenderahati dan makanan tradisional Terengganu,” katanya.

Difahamkan kejayaan program RXZ 4.0 telah mendorong banyak kelab permotoran bagi motosikal jenis lain merancang untuk me­ngadakan perhimpunan di Litar Permotoran Gong Badak dalam masa terdekat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI