fbpx

Kunto Aji sebak tengok semangat peminat di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUNTO AJI menghiburkan 900 penonton dalam konsert sulungnya di Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Pertama kali menjejakkan kaki di Malaysia, penyanyi Indonesia Kunto Aji hampir menangis melihat sambutan hebat penonton pada konsert sulungnya yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas di sini malam tadi.

Melebihi ekspetasi, Kunto atau nama sebenarnya Kunto Aji Wibisono,35, terharu dengan sokongan yang diberikan selepas melalui pelbagai cabaran untuk menghiburkan lebih 900 orang penonton.

“Rasa sangat puas malam ini. Banyak rintangan yang kami lalui untuk berada di sini menghiburkan semua dan perjalanan untuk bertemu dengan hari ini (semalam) sangat panjang namun semuanya berjalan dengan lancar.

“Sememangnya saya terkejut dan terharu dengan energi dan sambutan yang diberikan di Kuala Lumpur.

“Akhirnya dapat sama-sama merayakan karya-karya saya dengan peminat di Malaysia. Hampir menangis melihat semangat mereka,” katanya kepada Kosmo! Online usai persembahannya malam tadi.

Menyanyikan sebanyak 17 lagu popularnya, pelantun lagu Saudade itu ternyata berjaya memukau penonton dengan karya-karya hebat seperti Pilu Membiru, Sulung, Selaras dan Akhir Bulan dalam konsert yang berlangsung selama satu jam setengah.

Anak seni kelahiran Yogyakarta juga itu tidak menolak sekiranya diberi sekali lagi peluang untuk kembali membuat persembahan di sini.

“Sepatutnya konsert ini berlangsung selama dua malam tetapi saya akur bahawa kami perlu bergerak ke lokasi lain pula.

“Apapun, saya berharap dapat kembali ke sini lagi menghiburkan peminat di Malaysia dan membawa lebih banyak karya baru.

“Sekiranya ada peluang, pastinya kami akan membuat persembahan dengan persiapan yang lebih baik,” ujarnya teruja.

Dalam pada itu, dia mengakui lagu-lagunya boleh dianggap sebagai terapi jiwa seperti yang pernah dilakukannya dulu.

Mengakhiri persembahan dengan lagu Rehat, Kunto sekaligus membuktikan karyanya yang sering disifatkan sebagai estetik mempunyai kelompok peminat sendiri.

Untuk rekod, tiket konsert Kunto anjuran Shiraz Projects Sdn. Bhd. yang mula dijual pada 28 Julai lalu habis dijual dalam tempoh 30 minit selepas dilancarkan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI