SEORANG wanita tidak sangka jodohnya dengan seorang duda anak tiga tidak bertahan lama ekoran kehadirannya dalam keluarga suaminya tidak mendapat restu tiga anak tirinya.
Reaksi ketiga-tiga anak tiri terhadapnya selepas berpindah masuk ke rumah tersebut cukup dingin apabila masing-masing hanya berkurung di dalam bilik.
“Apabila tiba waktu makan, mereka keluar sekejap untuk menjamah sajian. Disebabkan itu, saya sudah mula rasa tidak sedap hati dan mula memikirkan lama mana perkahwinan ini mampu bertahan,” jelas wanita itu.
PADA usia yang sudah memasuki lewat 30-an, Azimah (bukan nama sebenar) enggan lagi memikirkan perihal jodoh selepas beberapa kali mengalami episod kekecewaan dalam percintaan.
Sebaliknya, wanita berkulit cerah itu memilih untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjayanya sebagai seorang guru di sebuah sekolah rendah di utara tanah air.
Sehinggalah pada satu hari, seorang lelaki berusia lewat 40-an yang juga rakan rapat kepada abangnya, menyatakan hasrat untuk melamar Azimah, sekali gus ingin memperisterikannya.
Hasrat tersebut membuatkan Azimah dalam dilema memandangkan lelaki dikenali sebagai Shahril itu merupakan seorang duda anak tiga yang berusia antara 15 hingga 20 tahun.
Bagaimanapun, selepas dipujuk oleh abang serta ahli keluarganya yang lain, Azimah akhirnya terbuka hati untuk mendirikan rumah tangga bersama Shahril.
Untuk makluman, Shahril merupakan seorang seorang duda yang kematian isteri selama lebih dua tahun. Dia seorang pegawai kerajaan yang turut mengusahakan sawah sendiri.
“Kalau ikutkan, saya tidak mahu kahwin terus sampai bila-bila kerana usia sudah lanjut. Namun, tidak sangka pula masih ada lelaki yang ingin memperisterikan saya.
“Sebenarnya, sukar untuk saya terima lamaran daripada Shahril. Ini kerana statusnya sebagai duda anak tiga. Lagi pula, anak-anaknya masing-masing sedang meningkat remaja.
“Saya risau, anak-anak Shahril tidak boleh menerima saya sebagai ibu tiri mereka. Selepas dipujuk abang, saya terima juga lamaran Shahril,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.
Selepas berkahwin, Azimah berpindah masuk ke rumah Shahril yang terletak kira-kira 30 kilometer dari sekolah dia mengajar.
Menurut Azimah, reaksi ketiga-tiga anak Shahril terhadapnya selepas berpindah masuk ke rumah tersebut cukup dingin apabila masing-masing hanya berkurung di dalam bilik.

AZIMAH tidak mampu lagi meneruskan perkahwinan apabila anak-anak suaminya tidak boleh menerima kehadirannya. – GAMBAR HIASAN
“Mereka seperti melakukan mogok selepas kehadiran saya ke rumah itu. Mereka tidak keluar bersalam atau beramah mesra. Masing-masing duduk di dalam bilik sahaja.
“Apabila tiba waktu makan, mereka keluar sekejap untuk menjamah sajian. Disebabkan itu, saya sudah mula rasa tidak sedap hati dan mula memikirkan lama mana perkahwinan ini mampu bertahan,” jelasnya.
Situasi berkenaan berlarutan selama berapa bulan, sebelum anak sulung Shahril datang bertemu dengan Azimah.
Gadis dikenali sebagai Puteri itu memberitahu Azimah bahawa dia dan adik-adiknya tidak akan pernah menerimanya sebagai pengganti ibu mereka.
Malah, Puteri meminta Azimah segera berpindah keluar dari rumah dan pergi menyewa di tempat lain kerana mereka tidak selesa dengan kehadiran orang tidak dikenali.
“Disebabkan itu, saya ada menyatakan hasrat untuk berpindah keluar, tetapi Shahril menghalang berbuat demikian kerana dia ingin saya menjaga anak-anaknya.
“Saya jadi serba salah, sebab anak-anaknya tidak suka kepada saya. Saya tidak mahu menjadi penyebab kepada keretakan hubungan seorang bapa dengan anak-anak,” katanya.
Selepas lima bulan, Azimah meminta abangnya memberitahu suaminya bahawa dia sudah tidak tahan lagi tinggal di rumah dan segera ingin berpisah dengan Shahril.
Mujurlah, Shahril memahami situasi dan tekanan perasaan dialami oleh isterinya itu, sebelum mengambil keputusan untuk menceraikan Azimah dengan talak satu di mahkamah syariah.
“Saya betul-betul rasa sangat tertekan ketika itu. Saya ingin keluar dari rumah itu dan kembali ke pangkuan keluarga. Sukar sebenarnya untuk menggalas tanggungjawab sebagai ibu tiri.
“Tidak semua anak-anak tiri boleh terima kita seadanya. Daripada terus memendam rasa, lebih baik saya dan Shahril berpisah untuk kebaikan bersama,” jelasnya.














